Pages

Saturday 29 December 2012

Tasbihat Cintaku..

Bismillahirrahmanirrahim,

Aku lukiskan dalam diam..
Bahawa hatiku butuh sebuah penghargaan..
Yang dijaga dan menjaga..
Mata dan hati bernama hamba..

Istikharahku kian jelas berbicara..
Bahawa inilah keharusan..
Mencari yang lebih kekal dan hampir..
Sedekat-dekat telingaku..
Takkan pernah jatuhkan aku..
Takkan pernah lemaskan aku..
Bahkan memeluk diriku penuh rindu..

Melepaskan bisikan yang berharap..
Biar sunyi selamanya sunyi..
Hati aku takkan dimiliki..
Kerna jiwaku yang mengingini..
Melepaskan bisikan yang berderap..
Suci tanpa hubung..
Sirna bersama cinta Agung..

Allahurabbi..
Allahurabbul Izzati..
Pemilik hatiku..
Istikharahku menetapkan segala..
Bahawa kanku lepaskan segala..
Lalu tawakkal penyambung cerita..

Menitislah air mata..
Kujatuhkan penuh bahagia..
Kuusap penuh rela..
Pada cintaku terpelihara..
Hadirnya dengan izin Maha Kuasa..

Kerna cinta yang lebih terutama, maka melepaskan bisik harap umpama mendekatkan doa istikharah. Kerna yang menyepikan suara. Bisa bertemu dengan izin-Nya. Tanpa terduga. Itu cinta terpelihara.


doasepi
- 25 Disember 2012 - 






Tuesday 18 December 2012

Keindahan Cinta : Kerna Tuhannya

Sentiasa hati itu berbicara. Pada Tuhan yang menjadikan perasaan yang terpelihara. Ia tertutup bersama sepi. Ia terpendam bersama kalam. Tika sedang tapak-tapak menyusun langkah. Membina sebuah harapan. Kesempurnaan dan keterikatan jiwa bersama Tuhan. Hanya sendu menemani. Dalam gelap malam yang mendiam. Tanpa ganggu hamba yang berbeda. Tanpa kacau hiruk dunia yang terleka.


Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)-Nya, ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari JENISMU SENDIRI, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.

Ar-Rum, 21

Gugus air mata menjatuh lagi. Mengalir sambil mengusap pipi yang kering. Sudah lama ia kontang. Asyik dengan ibadah-ibadah dunia. Sehingga lupa soal rasa. Sehingga lupa lumrah sebuah fitrah. Sejuk air itu. Beku dan dingin. Memeluknya bersama bicara dengan Tuhan. Yang menjentikkan soal cinta. Yang meniupkan rasa yang tak mampu terungkap dek bait novel. Yang tidak bersifat sementara. Seperti picisan mereka yang melafaz sebelum akad. 


Dijadikan INDAH pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).

Al-Imran, 14

Sering benar. Acap benar. Memohon penuh kerdil pada Tuhannya. Bahawa biarkan sahaja rasa itu. Tertancapnya dikebalkan dek dzikrullah. Yang membaja lembut. Memegang sosok jiwa sang pemuda. Yang butuh cinta selepas nikah. 

Biarkan sahaja cerita itu. Berbahagia tanpa kedekatan yang berapi. Hanya doa yang memangkin harap sekeping jiwa. Berlari dan terus berlari. Dari zina hati. Melihat kesejukan sejarah agung. Baginda dan Khadijah. Ali dan Fatimah. Dan Wildan dan Mardhiah. Hanya terus akan berharap. 

Sesungguhnya hawa nafsu ialah suatu bentuk keinginan yang tidak terpuji. Adapun keinginan yang TERPUJI adalah datangnya daripada panduan Allah s.w.t, yakni kekuatan ataupun dorongan yang menyebabkan manusia mahu menggerakkan dirinya untuk mendapat sesuatu perkara yang bermanfaat, sama ada untuk dirinya, keturunannya ataupun kedua-duanya sekali.

Imam Al-Ghazali

Dan mencarilah jalan cahaya yang bermanfaat. Menafilah duri onak yang mencanak. Biar lagu itu ada akhirnya. Biar aksara itu ada nokhtahnya. Kerna yang tidak berakhir umpama memendam tanpa rasa. Menusuk setiap detik. Luluhnya tak mampu dirasa sama. 

Suatu masa itukan tiba. Menuliskan yang terbaik untuk yang terbaik. Yang menjaga penuh setia. Yang memendam tanpa zina. Yang akhirnya mampu bertemu Tuhan Penguasa Cinta. Pujangga manapun, takkan pernah kisah. Ada apa dengan cinta Adam dan Hawa. 

Qalbu itu diteladani dari puncak rasa yang bercinta. Berharapnya penuh. Yakinnya tak pernah tergugah. Kerna DEMI dan HANYA Tuhan. Beda itu kan bangkitkan persoalan. Tentang nawaitu dan tanggungjawab. Tentang manikam dan jauhari.

Andai benar ia tertulis. Andai benar terukir. Ialah cinta yang terjaga. Batasnya dan gaulnya. Tika yang biasa mencebik muka. Jumud kata mereka. Namun redha Tuhan memayungi kita. Engkau dan aku.


Aku diamkan diri. Juga Engkau turut sama. Kerna kita tak pernah merasa pasti. Kerna kita masih banyak amanah harus diisi. Sebelum benar, cinta ini kan terjalin suci. 



doasepi
- melihat langit malam akan sentiasa kuberair mata -











Friday 14 December 2012

Lekang Cinta Palestina

Seminggu juga. Benar-benar cuba mengerti. Menyelami jiwa dan rasa. Setiap jantung Palestina. Yang bernafas sama. Bersendu sama. Pada ikat cinta iktikad kita. Terutama engkau dan aku. Pastinya tidak terlihat jelas namamu. Sering ku mencuba. Bertatih diriku. Lambat laun kan pasti terlihat. 

Kini di kejauhan pendam dan jaga. Aku dan dirimu tiada terlihat. Sering cuba untuk tidak terlintas. Nama dan baik peribadi. Mungkin ini hijrah. Berbisik setiap hari. Di cuping setiap Adam dan Hawa. Telah 1434 berlalu. Dan Palestina menangis tidak berlagu. Bermandi darah. Tanpa iring doa kita. Yang menguat geraknya bersama budi di dalam jiwa.


Sakit dan perit. Doa biarlah berlagu. Rindu yang satu. Pada tiap kucup nafasku. Tabahkan  hati. Cekalkan hati. Bersatu jiwa. Dalam luka yang perang calarkan. Aku kini. Hanya mampu membisu. Berbatu jarak darimu.

Dari sebuah titik kejauhan, lazuardi itu menyapa lembut. Hati yang tak mampu untuk membantu. Hanya membatu bersama doa-doa rapuh. Bagaimana dengan suara sama di sana? Engkau kuharap bersamaku. Secara bait dan nawaitu. Semoga ikat kan bawa hati-hati yang menyucikan bersama. 

Solidariti silih berganti. Menjengah khabar-khabar dengan mata dan telinga. Bahawa engkau di sana. Kekal berjuang secara fiskal. Aku hanya mampu. Tidak sekuat iman dan jihadmu. Hanya bersama ilmu-ilmu baca dan korek sedalam-dalamnya. Lalu aku letakkan dirimu dalam ketengahan kegembiraan dan kedukaanku. Bahawa tarikh ini benar-benar keramat. Benar-benar mengguncang lara seorang saudara!


‎" Palestin adalah negara kita dari LAUT MEDITERRANEAN hingga ke SUNGAI JORDAN dan kita tidak boleh melepaskannya walau seinci pun..."


Khaled Meshaal, pemimpin Hamas


Nukilku berbicara tentang luhur dan tegas. Bahawa cinta kita harus terpaut rapi. Dengan Quran dan sunnah. Dengan pegangan dan istiqamah. Bukan sekadar McDonald. Ia lebih dari segala yang nampak. Menyucikan jiwa-jiwa yang butuh ketenangan. Biarpun kini telah bisa menghirup bau-bau darah mujahid yang mulia. 

Bukan ia soal manusia yang berhak hidup saksama. Bahkan ia lebih dari segala dunia. Sedang mereka berdoa selontar suara yang mungkin. Sedang kita hanya berdoa dalam jiwa yang tidak segagah mereka. 

Duhai dirimu di sana. Aku tak pernah pasti bahawa yakinku setakat mana. Namun aku sentiasa pasti bahawa engkau saudara tercinta buat diriku. Tak pernah lekang. Jangan pernah cuba menghilang. Janji yang terpegang. Atas agama Maha Mulia. Bahawa kan sentiasa kusebar. Bahawa engkau milik kami semua. Bahawa restu kami sentiasa berlagu sama.

Andai mampu untuk ke sana. Biar mampu kucium dirimu. Dahi lembut yang kentalnya Allah di dalam jiwa. Memegang laras yang biasa. Berteman dzikrullah yang mulia. Tahajjud dirimu yang kudamba. Semoga bersama kita ke syurga. 

Semoga solidariti benar-benar bermakna. Semoga usaha benar-benar mulia. Aku masih termanggu. Melihat merpati yang hitam. Bukan gagak yang putih. Berubah takkan semena-semena. Berhijrah kita biar bermakna. Semoga hijrah aku dan engkau. Berdasar sama, beriktikad sama, menuju kesempurnaan yang selamanya. Demi redha Tuhan Maha Mulia.

Engkau adalah sesiapa yang mampu merasakan. Bahawa tak pernah aku bercinta. Seindah ini menjauhi zina.



doasepi
-Wangsa Ukay-