Pages

Friday 29 July 2011

Aku menanti cinta terpelihara : Sukarnya kerana keindahannya


" Betapa indah sebuah kesabaran
Tatkala tak kulihat wajahmu yang menawan
Jika suatu hari atau pada saat tertentu
Dunia dijual, betapa tinggi harganya..."

(Syair Arab)

Bersabarlah saat menanti. Kerna ia sebuah keindahan. Dan masa akan sentiasa berlalu. Bergerak pantas tanpa tuju. Allah yang menggerakkan waktu. Sampai suatu saat, segalanya akan berakhir. Berakhir bererti tamat sebuah cerita. Buat mereka yang menjaga jiwa dan anggota, beruntunglah. Dan yang sebaliknya pula, turut sama termasuk di dalam sebuah cerita. Kerna sekeping hati yang penuh percayanya pada Allah Maha Pencipta. Bahawa cinta itu kebaikan. Yang butuh sepenuh kepercayaan jiwa dan raga.

" Di Tangan Engkaulah segala kebaikan. "

(Al-Imran, 26)

Dan manusia itu akan sentiasa menanti. Saat yang seharusnya umum setiap manusia bernama hamba menunggu. Bertemu Rabbil Izzati. Bertemu wajah cinta nan suci. Betapa sukar detik-detik sebelumnya. Betapa jatuh dan bangun setiap hamba. Bernafas pada udara yang diciptakan Allah. Sungguh, ia anugerah terindah.

" Dan Dia memberi balasan kepada mereka dengan syurga dan pakaian sutera. "

(Al-Insaan, 12)

Dia kirimkan utusan. Di kiri dan kanan. Saat hamba terpandang suatu cahaya, maka beruntunglah ia. Dan andai sebaliknya, sungguh percayalah. Bahawa ia butuh waktu yang lama untuk kembali membelek kusam-kusam hati. Dan berbezalah mereka yang mejaga hati demi menanti sebuah cinta yang sejati.

Namun, saat hati sedang menanti. Begitulah lumrah seorang hamba. Ingin dikurniai sebuah cinta. Ia mahu zahirnya halal. Ia mahu batinnya terindah. Titip-titip kesabaran jadi ubat. Kiri dan kanan sentiasa utusan menemani. Namun taqwa dan iman sahaja mampu memegang. Untuk sentiasa masuk ke catatan kanan.

" Mereka katakan, jangan biarkan pandangan mata
Dua mata yang bertatap tentukan berpandangan
Bertukar celak mata adalah hal yang binasa
Jika pandangan itu dengan menjaga perasaan...."

(Syair Manaqib al-Syafi'e)

Hati itu lembut. Hati itu menyerahnya mudah. Hati itu sudah tentu mudah menangis. Ramai hamba menangis. Kerna hatinya menanti sebuah cinta. Kerna kesedaran menanti cinta halal itu terbukti berduri ranjaunya. Kerna Allah jualah yang membolak balikkan hati. Kerna Allah jualah cinta itu berhak untuk menanti. Betapa cinta itu lumrah. Betapa solat itu imarah. Untuk menghilangkan kelaparan.

" Kesukaanku dijadikan di dalam solat dan aku dijadikan meyukai wanita serta wangian. Orang yang lapar kenyang dan orang yang dahaga dapat minum sepuasnya. Sedangkan aku tidak kenyang kerna mencintai solat dan wanita. "

(Dipetik dari Sohih Muslim)

Menangis sekeping hati. Saat hamba bertemu rasa sebenarnya. Pada titik sebuah cinta. Pengharapan dan keyakinan yang menebal. Bangitkan cahaya yang kusam kan menjadi terang benderang. Lalu berpautlah pada ayat-ayat cinta dari Tuhan Penguasa Cinta. Penuh isi. Penuh hikmah. Cukup benar, demi menanti sebuah cinta.

Demi cinta yang terpelihara, berjuang untuknya tak harus berkurang. Malah bertambahnya ia pada kualiti berbanding kuantiti. Menyesakkan jiwa bisa bangkit sebuah rasa yang takkan termampu dihurai dek kata. Mereka menegur, dia tersenyum. Mereka membantah, dia berhikmah. Mereka berbuat zalim dia kan berdakwah. Membaiki zarah-zarah kecil pada pasak hati. DEMI dan HANYA cinta sejati.


" Seorangpun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka, iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan. "

(Al-Sajadah, 17)

Ayat-ayat cinta, takkan pernah tertelan dek zaman. Bahawa janji Allah adalah sentiasa pasti. Cinta tidak harus memiliki. Cinta itu harus dibiar seri. Ditambah baja-baja hijrah dan istiqamah. Lalu nawaitu meluruskan iktikad. Dan terus, bertemulah titik cinta sejati. Yang sebelumnya dipenuhi rahsia.

Cinta sejati sentiasa rasa dekat di hati. Kerna istikharah berbisik sepi. Untuk mereka yang sangsi. Telah bertasbih doa, bahawa harusnya Allah kurniakan pengakhiran. Yang terbaik buat diri. Yang terbaik untuk kini dan selamanya. Itu isi yang terpateri. Pada sebuah janji yang berzikir sambil menanti.

" Apakah Allah menciptakan itu tidak mengetahui (yang kamu zahirkan dan rahsiakan), Dia Maha Halus lagi Maha Mengetahui. "

(Al-Mulk, 14)

Takkan menghilang rasa di hati. Andai sentiasa hati mahu nama bersemi. Pada sujud sebuah cinta. Pada tetap sebuah usaha. Pada yakin sebuah janji. Dan pada sabar pada goda di sisi. Berjuang hamba memperbaiki diri, bukan untuk si dia yang dinanti. Berjuang hamba pada Ilahi, demi jadi hamba sejati. Betapa indah tiada terperi, sebuah cinta yang menanti.

" Allah berfirman, ' Aku telah menyediakan bagi hamba-hamba-Ku yang salih apa-apa yang belum dilihat mata dan didengar telinga serta tidak terlintas di dalam hati manusia, tidak seperti yang kalian pernah lihat. "

(Hadis al-Bukhari, Muslim dan Tarmidzi)

arthantawi

Wednesday 27 July 2011

Membelek Kusam Sebuah Zalimnya Hati : Demi Rahmat Cinta-Mu Yang Menyepi


" Ia memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmatNya (dengan ditempatkannya di dalam Syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. "
(Al-Insaan, 31)

Zalim itu sifat. Buat mereka yang terhentak. Pada dinding tebal sebuah  makrifat. Mengetuk dengan kuat, namun seksa yang mendekat. Sungguh, berhenti dari rahmat itu racun segala zalim!!

Kerna mencarinya, mengasahnya, menjiwainya rahmat Tuhan itu hadir tanpa berpenghujung. Mulanya, sentiasa bersemi di jiwamu. Sedangnya pula, sentiasa ingin membaluti ragamu. Dan akhirnya, takkan dirimu berpeluang berandaian saat bila hujungnya. 

Sampai tika, terasa seakan dunia ini seharusnya berhenti. Mungkin juga mahu dunia ini diulangi. Agar nota-nota itu mampu kau hafal secukupnya. Masa bergerak sepenuhnya. Dan dirimu berada di kelas pertama. Namun dunia itu tercipta antara dua cerita, apa yang diajar dan apa yang diambil pengajaran. Maka cinta kan sahaja menyentuh pintu yang menemui rahmat Allah.

"… beriman dan yang munafik itu) sebuah tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya mengandungi rahmat (Syurga dan nikmat), dan di sebelah luarnya, dari situ terdapat (neraka) dan azab seksa. "

 (Al-Hadid, 14) 

Tatkala dunia ini, isinya bersama hamba-hamba yang berpegang teguh pada dua prinsip ini, lalu mendekatlah jiwa kepada Yang Esa. Damai dan tenang membahagiakan jiwa yang lara. Yakin sentiasa sahaja penuhi ruang tawakkal. Kerna dirimu belajar untuk bertemu rahmat dari Dia, dan dirimu juga, ambil silapmu untuk hari muka.

Usaha itu akarnya iltizam. Dan penguatnya contoh teladan. Baginda penuhkan sisa hidupnya dengan iman yang bisa melangkaui segala zaman. Dan iltizam Baginda dihurai eratkan melalui hadis-hadis dan isi Quran. Betapa dirimu tak mampu membayar nikmat rahmat dari Tuhanmu. Betapa cinta Tuhanmu sahaja seakan bisa merahmati seluruh dirimu.
  
"...(Pengutusan Nabi Muhammad s.a.w, kepada umat manusia seluruhnya) itu (yang menjadi rahmat) adalah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan sememangnya Allah mempunyai limpah kurnia yang besar. "

(Al-Jumu'ah, 4)

Rahmat-Nya rindu mengalir. Untuk sentiasa menuju untuk mereka yang mencari. Dan beza untuk rahmat itu, letaknya pada hidayah dan takdir Allah. Andai hidup sentiasa memperbaiki, baharulah rahmat ingin membaluti. Lalu buahnya memacu tamadun yang dicintai. Untuk agama yang dinaik saksi.

Percayalah pada rahmat-Nya. Ia sentiasa di hatimu. Hanya terpulang untukmu. Memilih rahmat atau laknat. Demi sebuah cinta terhormat. Sudahkah dirimu lupa ganjaran cinta untuk mereka yang mencari rahmat segala cinta? Terulungnya tiada terkata. Nikmatnya tak terbayang dek minda.

" Serta Kami jadikan mereka sentiasa dara (yang tidak pernah disentuh). Yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya. (Semuanya itu disediakan) bagi puak kanan; iaitu sebilangan besar dari orang-orang yang terdahulu.."

(Al-Waqi'ah, 37-40) 

 arthantawi 

Sunday 24 July 2011

Aku Mencintai Tuhanku : Dan Dirimu Masih Di Situ


Hidup manusia itu untuk jadi seorang hamba. Merindui Tuhannya. Setiap detik sentiasa sahaja begitu. Itu manusia dambaan, apatah lagi wajah ditambah tenangkan. Bersama cahaya dari solat malamnya. Biarpun tidak berturut-turut, itu hamba terbaik buat tuannya, bernama Allah.

Kala cinta itu memekar saat malam yang sepi, akan wujud ingatan-ingatan yang tidak mampu tersisih dari minda. Terisish dari sebuah janji. Tersisih dari sebuah penantian. Allah tetapkan yang terbaik buat hambanya. Lalu menangislah merindukan rahmat Allah. Menyapa lembut. Menyentuh hati-hati yang menyerahkan cinta.

Zaman ini, mata dan anggota kan mudah terdedah bahaya. Zinanya tiada nampak secara jelas. Zinanya lebih menyentuh hati dan jiwa. Baginda saw bersabda:

" Wahai sekalian orang-orang Muslim, jauhilah zina, kerna di dalamnya terdapat enam perkara, TIGA di dunia dan TIGA di akhirat. Di dunia itu, hilangnya keelokan, kemiskinan yang terus menerus, dan umur yang pendek. Sedangkan yang di akhirat itu adalah kemurkaan Allah, hisab yang buruk dan masuk neraka. "

Usah dihampiri zina hati. Penuhi sahaja jiwamu pada solat-solat malam yang bercahaya. Cinta itu memekar pada lembut dan tetapnya Luh Mahfudz. Andai kebencian melata, takkan pernah mampu melawan dan menepis takdir sebuah cinta. 

Sucinya cinta hamba itu saat dirinya mabuk bersanding bersama Pencipta. Saat jiwa dan raga teguh pegangnya pada Mukminun satu hingga tujuh. Saat itulah malam kan mengganti rasa pendam jiwamu jadi sebuah nyala ikhlas. Jadi sebuah doa yang menuju sebuah kenyataan.

"... barangsiapa yang mencari di balik itu, maka itulah orang-orang yang melampaui batas. "
(Mukminun, 7)

Lalu berperanglah nafsu. Penjarakanlah nafsu. Ikatilah nafsu. Tundukilah nafsu. Hanya nafsu-nafsu hina. Kan mampu dipandu jadi sebuah jihad terutama. Dan Tuhanmu bernama Allah swt kan hadirkan jawapan. Hanya saat nafsumu menggeletar pada sebuah cinta agung. Memilih antara sebuah cinta, datangnya adakah ikhlas, mahupun berakar sekular. 

Allah kan menjawab soalanmu. Allah kan melakar intuisi buat dirimu. Tatkala ingatanmu masih di situ. Serba salahmu bangkitkan semangat yang tidak bernafsu. Hanya jihad setiap waktu. Hanya sabar dan mahu jadi terbaik, setiap detikmu. Dan apakah dirimu mampu merungkaikan?

Penyair masyur pernah berseloka,
" Jika malam-malam aku mengunjunginya, kulihat jalan yang jauh seakan dekat di mata. "

Semoga sahaja kita mencintai Allah untuk selamanya. Dan mencintai seseorang yang engkau namakan 'dia' atau 'dirinya', harus sentiasa dipagari jauh, dari zina hati. Rahmatilah diriku. Perkenanlah.

arthantawi

Bertasbih Cinta : Mengucap Suatu Nama


" Aku melihat dirinya. Aku ungkapkan namanya. Aku bisikkan suara-suara sepi..."

" Kerna dirimu belum cukup sempurna. Kerna dirimu belum gantang istiqamahnya. Kerna dirimu belum kental tiada tergugah pada dunia..."

" Aku berterusan bacakan, aku ungkapkan Al-Mukminun ayat satu hingga tujuh. Aku perit menanti sebuah cinta. Terkadang gundah, terkadang damai...."

" Engkau lupakan sahaja zina hati. Kan hadir ikhtilat-ikhtilat berduri. Tegarlah. Engkau tinggalkan hatimu yang dahulu. Kerna telah merekah dan pecah ia. Berkeping-keping tanpa mampu dirawat bahagia.."

" Aku berpuasa. Aku tidur seawal malam. Dan aku tinggalkan lambungku. Semata-mata demi bisikku pada Tuhan. Hanya yang ku nantikan, sebuah cinta yang penuh keindahan. Penuh rahmat dan penuh isi-isi syurga..."

" Teruskanlah. Engkau tetapkan hatimu. Engkau pegang hatimu. Sampai kapan waktu, engkau kan bertemu siapa. Seorang bidadari tertulis namanya, penuh rahsia yang amat bererti untuk dipandu ke sana...."

Berterusanlah dirimu memperindah budi. Berusahalah memperbaiki peribadi. Kerna sebuah janji dari Tuhanmu Yang kamu cintai, tak pernah jatuh bergolek. Juga tak pernah tercipta tanpa cerita rahsia. Sedang ayatul Kursi menebarkan makna, bahawa dirimu hanya seorang hamba. Takkan cukup jauh engkau merungkai, pengakhiran sebuah cerita. Cukuplah. Benarkan hatimu mencintai dirinya. Tanpa sedikit badan dan mindamu mengingati dirinya. 

Berbicara ibarat sebuah cerita bahagia. Sungguh, berbahagialah mereka yang memenjara jiwa keji dan nafsu melata. Tatkala pada bulan-bulan sebegini. Meningkatkan nilai diri butuh sebuah kata kunci. Bahawa menanti seorang bidadari ibarat berjuang membuang nafsi.

Rahsia itu sebuah cereka terindah. Sama hikmahnya pada kejadian tika kita dibangkitkan pada suatu masa. Hak Tuhanmu berbicara pada arus lurus jalanmu. Bertasbih sepanjang dunia. Berusaha bagai nak gila. Segalanya demi sebuah redha. Dari Dia yang Mengawal Cinta.

Hadith Taurat pernah berbicara:
 " Jika Allah menyukai seorang hamba, Dia akan memberikan di hatinya suatu kesedihan yang amat mendalam. Bila Dia membenci seorang hamba, Dia akan menjadikan dalam hatinya seruling ketenangan..."

Redhalah pada rahsia. Tenanglah jiwa pada sebuah gundah yang sesekali menyesakkan jiwa. Sungguh beruntung tatkala kalam suci Bagindamu diatur dalam-dalam pada tengah jiwamu. Lalu mengalir air mata cinta. Basahnya pada malam-malam saat manusia melayan lena. Dirimu berharap sepenuh jiwa. Dan gelombang yakin bersuara jua. Dari Allah Penguasa Cinta.

Cinta itu hanya bererti buat dirimu yang penuh yakinnya. Yang sesekali terbawa pada sebuah kata awal sebuah janji. Dilafaz penuh terhijab. Antara dua keping hati. Antara dua kaca yang takut bermain neraka berapi.

Dan berhentilah dirimu. Sebelum maraknya membakar diri. Cahaya itu timbulnya tika malam, sunyi dan bertemankan keikhlasan rasa hamba membawa diri. Terkadang rasa diri ini di langit, kerna mahu sehampir mungkin Dia mendengar pintamu. Kerna juga mahu Dia sampaikan rasa kuatnya sebuah hijab cinta. Darimu seorang yang setia.

Lalu terbisiklah ayat Baginda yang shahih:
" Tidaklah seorang Mukmin dilanda kecemasan, kelelahan dan kesedihan, melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya..."

Dirimu ingin dirinya dengan redha. Lalu rasakan kesedihan yang menjurus ke arah ketaqwaan dan kesungguhan mencintai diri-Nya. Percayalah, akan hadir cahaya demi cahaya. Hanya kan tiba. Percaya sahajalah pada Dia. Sungguh, andai dirimu rasa gusar dan gulana, damaikanlah bersama kitab agung tercinta. Dalamnya sedarkan semua. Bahawa cinta seorang bidadari tak harus bermain api bersama nawaitu yang terpesong. Rasanya benar, realitinya jauh dari nyata.

Hati berbicara tentang cinta. Hati berdakwah tentang cinta. Bahawa dirimu itu sebuah cinta. Yang dipinjamkan Tuhanmu. Terus, bawalah cintamu pada Dia. Agar mengalir doa sama dari hati yang di sana. 

" ....cinta orang-orang yang mencintai-Mu, dan...."

arthantawi


Thursday 21 July 2011

Usah Mencintai Masa Lalu : Merosak Hatimu


" Kerana aku tidak suka akan KEBOHONGAN, " jawab si keldai.

Itulah riwayat sebuah silam. Bilamana seekor keldai ditanya mengapa tidak engkau merenung kisahmu yang lalu? Dan terkadang keldai itu, haiwan ciptaannya Allah tidaklah layak andai setiap hamba mendambakan definisi bodoh kepadanya. 

Kerna sungguh, dan percayalah bahawa Allah tidakkan suka, tidak pernah gembira akan sesiapa yang menyibukkan dirinya seringkali mengingati masa-masa lalu. Menghadirkan sedetik lalu bersedih dan terus bersedih.

Saat cinta itu bertasbih, telah Allah tanbihkan untuk tidak memulakan kesedihan tanpa sebarang usul yang harus, usul yang layak. Ikatkan sahaja masa lalu di dalam penjara dan terikkannya bersama tali yang kuat dan tebal. Nescaya dalammu tiadakan lemah akibat terlalu mencintai sesuatu yang telah berakhir. 

Masa lalu yang bernama kesedihan, hanyalah mimpi buruk yang bakal berulang. Sedang Allah itu berada di mana-manapun engkau menoleh dan berpaling. Senyumlah dan tukarganti hatimu. Hampiri Allah yang berada lebih dekat dari jarak telingamu, dan alunkan keazamanmu untuk bagkit dari masa lalu yang hiba. 

Hatimu milik saat ini. Usah dirimu renungkan saat lalu yang menyedihkan, kerna kamu tidakkan mampu bergerak bagai pejuang syahid yang lumpuh, mayatnya ditanam tanpa mampu dicam sanak saudara. Sungguh, hari demi hari itu diciptakan Allah untuk seorang yang bernama hamba. Maka, berusahalah dan berjuanglah. Demi memperoleh syurga dan keredhaan Tuhanmu yang Maha Agung.

Andai mampu dirimu terdetik saat ini, ayuhlah melihat luar tingkapmu. Bahawa Allah telah ciptakan malam itu sunyi. Dan Dia biarkannya jadi kelam, untuk menelan pergi kisah-kisahmu yang silam. Esok masih ada, namun saat inilah mulanya!!

" Terimalah semua yang telah Allah berikan kepadamu dan jadilah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur. " (Al-A'raaf, 144)

arthantawi

Tuesday 19 July 2011

Istikharah Cinta : Bertemu Seorang Gadis Thantawi

Gadis Thantawi rasakan kepenatan..
Dek berjalan dalam gurun yang sentiasa ada debu-debu..
Debu-debu yang langsung tidak membantu..
Tapi sakitkan hati yang setia menunggu..
Dia terus berjalan..

Dalam jalanan kan dia jumpa..
Air yang hilangkan hausnya..
Tapi debu masih ada..
Berterbangan hinggap ke mata..
Kadang-kadang buatkan matanya berair..
Kini ditambah pula dengan rasa sayu yang mengulir..

Gadis Thantawi takut..
Takut pada debu-debu yang membelai..
Tapi dirinya tak pernah lalai..
Sentiasa yakin akan jalan biarpun ramai pernah terkulai..
Yakinnya hingga tak mampu tuk yakinkan gurun..
Kerna kuat dirinya benar-benar sejati..
Bahkan gurun kan rasa gelisah di hati..

Itulah gadis Thantawi..
Tak pernah dia lelah..
Berdoa dalam tiap malam..
Mohon gurun hilang kerisauan..
Tapi gurun itu besar..
Besar sebesar impian si gadis Thantawi..
Sama..

Kadang-kadang gurun kirimkan debu..
Kerna ingin dia merindu..
Namun debu tambahkan pilu..
Penat dan sakit di qalbu..
Gurun kan tahu?

Mungkin gadis Thantawi perlu arif..
Arifkan juga pada sang gurun..
Makna jalan yang suci..
Takkan mahu debu-debu begini..
Lalu gurun mengerti..
Bahawa dia gadis Thantawi..

Berjalanlah duhai gadis Thantawi..
Gurun takkan hadirkan lagi debu-debu..
Kini gurun mengerti cinta suci..
Jauh dan sukar perjalanan..
Tapi biar terhindar dari debu jalanan..

Kini dia yakin..
Seperti Ilahi khabarkan segala yang mungkin..
Dalam istikharah malam penuh dingin..
Tersenyumlah gadis Thantawi..
Pabila gurun hargai yakin yang sejati..

arthantawi

Monday 18 July 2011

Cinta Bertasbih : Benarkanlah Ia Hadir Tersirat

SEGALA PUJI BAGI ALLAH TUHAN YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

" Bila kita akan bertemu? Kita telah berjanji. Kita berjanji untuk sentiasa mendoakan. Juga, agar kamu dan aku perbaiki akhlaq dan kehidupan ini. Kamu menganggap diriku jauh lebih baik dariku. Aku hanya seorang Adam yang biasa. "

" Pasti, kita akan bertemu. Andai tidak di dunia, mungkin sahaja di sana. Kamu bacakan sahaja Bidadari Bermata Bening. Kamu akan temui aku. Kerna Adam yang ditaqdirkan untuk Hawa sepertinya adalah mereka yang sentiasa meningkatkan diri. "

" Kita tahu keluarga dan budaya kita berbeda. Namun aku pasti andai niat kita hanya kerna Tuhan. Kamu dan aku pasti ditakdirkan bersama. Kerna segalanya kernanya. Juga, usah lupa tahajjud. Aku berharap benar, ingin bertemu denganmu. "

" Mustahillah. "

" Kita pasti. YAKINLAH. SETIALAH. Hanya saat itu aku berdoa agar aku dan segala hasratku menuju kamu, sebagai bidadariku. "

" Aku berjanji. "


Mungkin sahaja kan wujud dialog-dialog di atas antara mereka yang hangat bercinta. Namun, percayalah bahawa tika seorang hamba merindukan takdir yang suci kerana Allah, di sini juga telah Allah tetapkan bahawa dialog-dialog di atas seolah-olah berlaku.

Itulah cinta terpendam. Cinta ini hasil nukilan hati-hati yang bertasbih. Pasrah mereka kerna Allah. Kerna mereka tahu bahawa sekali syaitan menerobos, merubahlah segala. Betapa perit andai sekali mereka terlanjur. Bersederhanalah dalam menanti. Paling kurang, cukuplah andai Jabir bin Abdullah menjadi contoh terhampir.

Cinta sebegini andai ditagih cukup berbisa. Kerna mereka sedang dalam berubah. Berubah mereka ikhlas, namun bukan malaikat yang sedang bercinta. Namun manusia yang mudah alpa!! Jangan kata ustaz atau mana-mana pun remaja terpilih, tika kata-kata mereka yang sentiasa dihiasi pro dan jarangnya kontra. Bila saat berbicara tentang nikah, jauh sekali menghampiri golongan yang mencintai cinta yang tulus ini.

Didiklah hati agar memandang perkahwinan itu sebagai lebih dari tanggungjawab. Dan cinta itu harus hadir sebelum dan semasa supaya, selepasnya begitu mendamaikan jiwa yang lara. Cinta yang berkonsepkan dialog di atas adalah cinta yang menjaga. Menjaga segalanya. Mata, hati, jiwa dan anggota lain. Mereka ini telah berjanji, dan tipulah andai tidak berdoa khusus.

Ini senario utama. Berjanji untuk bernikah. Digoogle dalam internet, bermakna BERTUNANG. Budaya kita sahaja yang mewujudkan adat ini, kerna apa? Kerna dan demi penghormatan seorang gadis kepada bapa, juga penghormatan seorang lelaki kepada Allah. Itu tersiratnya cinta yang berjanji.

Dan akhirnya, segala layak diserahkan kepada Tuhan. Sama ada bermata bening mahupun jeli, segalanya kan pasti adil. Namun, percayalah hati pasti terguris andai selama menanti, akhirnya ditetapkan yang lain buat dirinya. Belajarlah dari kisah Laila dan Majnun, juga Rabiatul Adawiyah dan seorang wali agung. Itu cinta tersirat.

Dalam kisah ini, cukuplah andai difahami bahawa ungkapan ini tersirat. Di mana dua hati yang ikhlas memperbaiki akhlaq dan mempersiapkan diri untuk Allah. Memohon secebis ihsan dari Tuhan Penguasa Cinta.

Andai cinta itu kerna Allah, bukalah hati agar memahami tersirat itu juga hadirkan ketenangan. Kerna kursi Tuhan juga butuh sepenuh penghayatan, sebagaimana lazatnya sebuah cinta yang mahu dibawa hingga ke syurga. Kerna terkadang, terang suluh bicara tentang nikah dan cinta, seakan merumitkan lagi sebuah impian kudus. Dan betapa perit untuk menterjemahkan keindahan cinta, andai tersirat sentiasa dihujani rasa pesimis. Mujur sahaja ada waktu dan ruang.

Semoga sebuah janji mampu mendamaikan jiwa..
Hanya sedikit hijab tanda setuju, maka damaikanlah hatimu..
Buat mereka perindu cinta kerna Tuhan..
Buat mereka yang berusaha penat demi cinta Tuhan membentuk diri..
Juga tidak lupa buat hati-hati yang runsingkan jelepoknya sekali kan rencatkan impian haqiqi..
Biarlah sepi dari sebarang berita, moga bertemu jua atas takdir yang Esa..


arthantawi

Sunday 17 July 2011

Menemui Cinta : Ayuhlah Bersabar

SEGALA PUJI BAGI ALLAH TUHAN YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

" Kamu bisa meluahkan apa yang tersirat. Haruslah. Biar dia ketahuan rasa mu ikhlas. "

" Aku yakin keikhlasan itu suatu yang perit untuk mata manusia melihat. "

" Tapi kamu harus. Dia gadis terbaik. Kamu..juga. Namun sudah pasti bapanya kepingin mengetahui saat benar-benar harus mengetahui. "

" Perjalanan masih panjang. Aku tak mahu keikhlasan ku disedari dengan terus. Olehnya. Benarkanlah dirinya mencintai kedua ibu bapanya. Sebelum, terus aku jadi pemilik hatinya. "

" Agamanya terindah. "

" Cukuplah dengan itu. Kerna aku menantinya dengan agama yang dia bentuk. Kerna Ya Rabbul Izzati. Aku tak mahu diriku, dirinya diperbebankan dengan tanggungjawab yang harusnya dipikul, selepas alam pernikahan. "

" Kamu tenang melihatnya? "

" Belum, tunggulah. Rupa juga penting, namun aku tak mahu berzina dengan hatiku. "


Betapa perit memahami soal hati yang sedang menanti. Demi Tuhan, segalanya mahu tulus. Usahlah didesak rakan untuk segera bernikah. Usahlah juga didesak rakan untuk segera membuktikan cinta. Statistik JAKIM juga menceritakan sepuluh tahun pertama itu tenat. Dan selepas itu? Perlu cukup segalanya buat pertambahan anak, persekolahan, membayar loan-loan tertentu, pengasuh juga mungkin. Dan yang terutama bantuan kepada ibu bapa kita.

Mengelamun terkadang-kadang. Tika itu gapaikan sahaja quran. Namun diri lebih meyakini solat hajat dan istikharah. Andai mampu, tahajjud. Di rumah butuh waktu yang cukup lapang. Di institusi, kita disibukkan dengan pelajaran. Semakin mendekati Tuhan. Semakin kurang mengelamunnya. Insya-Allah.

Bicara makna cinta harus jujur. Usah lapikkan pada cinta kerna Allah terlalu awal. Lalu memendam rindu itu tak mampu jadi perjuangan yang tegar. Percayalah, melawan nafsu cinta itu sukar. Namun mengenal punca rasa cinta itu harus. Yakni cinta dari sudut yang benar, dan disesuaikan pada diri dan kemampuan. Perlunya lebih tegar. Ini mujahadah tertinggi martabatnya.

Namun soalnya hidup kini dipenuhi cinta. Cinta pada kedua ibu bapa. Cinta juga untuk menjadi seorang hamba yang setia pada Tuhan. Cinta seorang suami untuk setia kepada zaujahnya. Juga cinta seorang saudara kepada saudaranya di Palestin. Tika menginjak umur matang, tika inilah minda kan berfikir dengan lebih global. Mencakup ruang pengorbanan yang lebih besar dan jitu. Dan cinta juga mahu dirasakan buat mereka yang berada di sekeliling.

Quran dan Baginda tak pernah pisahkan cinta dengan kehidupan. Hakikatnya, mencintai itu menasihati. Ibarat Tuhan hantukkan manusia pada musibah. Juga ibarat seorang isteri menegur suaminya yang kurang sempurna tindak tanduk. Kerna tiada perpisahan inilah menjadikan cinta itu, merebaknya ke seluruh jiwa kan bangkitkan rasa-rasa indah. Bertasbih dan berusaha. Kejayaan sahaja jadi nokhtah. Dan gagalnya pula jadi noktah bertindih. Kerna memperincikan lagi tindak tanduk selepas ini agar lebih berjaya.

" Aku mahu dia dan aku bersedia. "

" Maksudnya? "

" Jangan ditanya maksudku. Tanyalah bila? "

" Jadi, bila? "

" Saat kamu sudah rasakan kecintaan Tuhan. Terhasilnya kerna mujahadah. Terbiasnya kerna mahabbah. Itu literalnya. "

" Bikin aku pusing. "

" Lateralnya, senyumlah. Dan layanlah rasamu selayak seorang hamba masih belum cukup dengan kesempurnaan diri dari Tuhan. Aku kini senyum. Kerna aku juga, takkan melafazkan, demi kalimahnya nanti indah. Asli. GENUINE. "

" Benar juga. Cinta haqiqi, maka aku setuju. "


arthantawi