Pages

Saturday 1 October 2016

Assalamualaikum Ustazah...



Mikraj cinta antara kamu dan aku,
Malam ini terpacu bersama lagu yang merindu, 
Basah tangis dalam dingin malam yang bersatu, 
Kamu juga aku. 

Andai benar doaku benar, 
Yakin kamu dan aku pasti bersinar, 
Pada jalan-jalan cahaya, 
Pada ranting dahan agama, 
Pada bait istikharah cinta.

Kamu dan aku, 
Semoga kita pasti bertemu, 
Saat sendu syahdu yang memburu, 
Asyik harap pada sucinya qalbu, 
Terlindung mulia kerna Kamu yang Satu. 

Creator Hotel, Kulai
1 Muharram 1438

Tuesday 12 January 2016

Warkah 2 : Selesai Januari 2017

Malam ini sepoi sahaja. Aku karangkan sajak Langit Gemini semalam untuk kamu. Aku tak pernah berhenti membuat rujukan akan kerjaya kamu. Kerana aku tak ingin kisah silam berulang kembali. Aku ingin sentiasa bertindak tepat buat kamu. Memahamimu secukup mungkin. Mengenalmu tanpa bertanyakanmu. 

Demi nama Tuhanku dan Tuhan kamu, aku sandarkan doaku untuk tiba pada jagad khayalmu sentiasa. Aku tidak pernah merasa pasti, bila dirimu mengatakan Firdaus adalah kisah silam. Namun di dinding facebook masih tertera namanya. Apatah lagi kamu juga mengucapkan terima kasih seolah olah Firdaus antara tulang belakangmu saat hari graduasimu. Yang paling hampir, dia berada di sana. Membuat housemanship di hospital yang sama. 

Sekadar mungkin rahsia yang kamu mungkin khabarkan padaku. Saat ucap selamat tahun baru lebih kamu dahului berbanding aku. Benar, aku ciptakan perasaanku untukmu bukan kerana kerjaya dan wajahmu. Namun kerana solehahnya kamu bersama umi dan keluarga lain kamu. Lagu dendangan Meghan Trainor berduet bersama John legend juga sejurus selepas rancak bicara kita buat pertamanya. Aku bersyukur. Sedangkan aku bertahan untuk tidak berbicara padamu hampir seminggu dan tersilap tekan butang smileyku memulakan segala cerita. Balasku, lagu Charlie Puth kuuntaikan untuk kamu sedar bahawa aku bersedia bila-bila sahaja untuk membuka hatimu kerana Allah.

Saat itu, kamu juga menukar profil gambarmu. Kamu berbaju biru. Kebetulannya sama benar dengan profilku yang berbaju biru. Benar wahai Tuhanku, kamu dan segala tindakan kamu mungkin hanya segala kebetulan. Dan mungkin juga aku sahaja yang mengomong kosong. Namun apa yang aku pasti kali ini. Kamu harus aku mencuba. Untuk memelihara dan bersahabat mulia dengan nama Allah. Andai lancar jalannya, tiada salahnya untuk kita menuju ke sebuah baitul muslim. Insya Allah.

Kerjaya kamu sebagai doktor benar-benar butuh sabar dariku. Aku hanya sibuk saat ada submission kepada majlis sahaja, ataupun ada tender drawings yang harus disiapkan. Lain halnya jenis projek yang aku urus hanya berkenaan proposal di peringkat design mentah dan minit mesyuarat serta minit teknikal yang harus aku sudahi sebelum pulang. Kamu pernah khabarkan kepadaku bahawa tamat housemashipmu pada Januari 2017. Aku punya masa. Benar aku punya masa. Untuk memberi kamu ruang dan masa. Untuk kamu fokus pada kerjayamu. Sedang pula, posting kamu saat menjadi MO tidak mudah dan pasti di mana. Makanya aku akan menunggu penuh sabar. Kerana Allah Pencipta Hatiku dan hatimu.

Malam malam mutakhir aku sengaja pulang lewat. Setiap hari bermual Januari 1. Kadang tiba di rumah pukul 10. Mungkin juga 11. Sebelumnya aku berehat dan bertafakur di Masjid Greenwood. Di sini, ada ruang marmar yang sejuk dan tidak ditutup untuk aku bersolat sunat dan mengirimkan doaku untuk kamu. Demi Tuhanku, aku tidak pernah meninggalkan solat hajatku sebelum tidur. jauh dan dalam pelusuk hatiku, ingin benar aku bahawa kamu adalah wanita terakhir untuk benar-benar aku risik dengan lafaz mulia. Lafaz sakinah.

Aku sering berharap bahawa usahaku ini istiqamah. Selain dhuha yang sering aku tetapkan saat pagi hari. Mungkin juga Quran yang aku tambahkan tadabbur tafsirku. Aku ingin jadi yang terbaik buat kamu. Andai mungkin bukan kamu. Maaflah, namamu tetap bersuara dalam solat hajatku. Mungkin suatu masa aku dan kamu tiada jodohnya, maka saat itulah aku pohonkan doa Nabi Daud as. Menanti cinta yang hadir kerana cinta agung kepada Tuhan.   

Malam ini tepat 11.57 malam Januari 11. Hanya 3 minit sebelum menjengah hari kedua belas dalam Januari. Aku pohon agar aku tidak sering menekanmu dengan bicara nasihat dan khabar. Fahamku padamu harusnya bermaksud aku tidak sesekali mengganggumu. Biar doa aku terus berbicara. Demi Tuhan Pemilik Hati, mungkin Februari temukan aku dan kamu. Pertemuan untuk aku dan kamu kenal antara realiti. Semoga dipermudahkan Allah. Semoga kamu senang dengan aku. Juga aku damai dengan kamu.

Nukilan warkah keduaku ini merupakan kelahiran semula novel Islamiku. Aku cuba senekad mungkin, bahawa inilah masanya. Tiada lagi istilah gadis Thantawi untuk dijadikan aas penceritaan. Ini antara kamu dan aku. Mungkin kononnya kita bertemu di Rumah Tasik, siapa tahu? Semoga ia bernafas sama. Aku harus mula untuk kembali mencari pengeluar dan penerbit nukilan ku ini. Semoga ini jadi mahar terindah dariku untukmu. Harapnya Puan Mazenah ketika aku berada di bawah Homeroomnya dahulu di MRSM, akan senang membaca dan meneliti warkahku ini. Ingin meminta bantuan Prof Azmah Nordin, seakan terlalu jauh. 

Aku lepaskan segala yang aku rasakan tentang kamu. Dan aku mengawal rasaku pada titis air mata ku saat tahajud. Mungkin malam ini aku tahajud lagi. Tiada lagi setting alarm padaku. Segalanya dipermudahkan Allah. Segalanya seakan bernada setuju akan perasaanku terhadapmu. Andai ia benar, ia harus sukar. Andai ia benar, ia harus ada sekelumit serabut dan gusar. Andai ia juga benar, ia harus bernafas istiqamah. Antara kamu dan aku, hanya hijab doa kan menjadi jambatan.

Malam ini, aku berharap kamu sentiasa sihat di sana. Dari seorang teman istimewa yang bernawaitukan baitul muslim. Jaga dirimu. Kekal selalu bercinta dan merindu Tuhanmu. Semoga dirahmati dan semoga rahmat juga menutupi warkah keduaku malam ini. Tuhanku, sampaikan bisik doaku seorang arkitek kepada seorang doktor.


Monday 11 January 2016

Warkah 1 : Kamu Seorang Gemini

Dengan menyebut nama-Mu Tuhanku. Tiada daya untuk sekeping hati menyentuh sekeping hati yang lain. Juga tiadalah daya sang hamba untuk menolak rasa gelora yang membuncah. Sambil saban hari menjaga segenap jiwa dan raga. Sambil saban tahun menanti seorang zauj menjemput sang bidadari zaujahnya. 

Malam ini seperti selalu bagiku, ditemani sunyi dan hanya sepoi bayu malam menyentuh bahu dan rusuk tubuhku. Aku melihat jam di tangan. Hanya selang dua jam lagi. Tahun ini akan berakhir. Melabuhkan tirai, juga bermakna sudah genap dua tahun istilah seorang Gadis Thantawi melenyap dalam minda akal dan qalbuku. 

Istilah suci ini. Sering aku angkat pada nilai-nilai budaya konservatif Edinburgh nukilan Jane Austen. Kemudian aku sadurkan sedikit nilai islami kononnya biasan Ustazah Fatimah Syarha dan ikon Muslimin kontemporari seperti Hilal Asyraf dan Ustaz Pahrol Mohd Joui. Aku pernah dipuji dirimu sang Gadis Thantawi, bahawa aku jelmaan Ustaz Pahrol Joui. Dari sudut tulisan dan nukilanku. 

Dirimu dirisik seorang pemuda beragama. Saat aku tidak mampu menyempurnakan zahir dan batinku untuk dirimu. Saat bisik istikharahku berbicara pada tulus jujurmu. Dan aku dan kamu membiasakan dan mendamaikan pada seutus lafaz perpisahan. Bahawa dirimu bertemu jodoh bukan pada letak telapak tanganku pada ubunmu. Bahawa dirimu bertemu jodoh kerana mahal dirimu menjaga dan memelihara hijab-hijab rahsia antara sang Adam dan Hawa. 

Hari ini Januari sebelas 2016. Nama seorang gadis Thantawi yang pernah aku nukilkan pada celoteh mahar untuk seorang zaujah terikat pada tiga watak Islami dan Inggeris konservatif. Saidatina Fatimah ra, Jane Austen dan sudah tentu Kate Forster. Tiga nama ini yang menjadikan gambaran bakal zaujahku terlihat santun dan sederhana. Dan pada hari kesebelas ini, dengan nama Tuhanku aku menuliskan luah rasa dan doa titipku untukmu. Mungkin kamu gadis Thantawiku. Kamu yang bersifat secretive, mahal jualnya, labuh tudungnya. Aku nukilkan pada kanvas maya untuk kamu baca suatu hari nanti. Semoga ini mekar. Jarak ini yang aku ciptakan untuk jiwa aku dan kamu berhibernasi. Dari merusak hati hati yang lara. 

Aku suka untuk berharap bahawa ucap selamatmu di awal tahun. Akan membina jambatan untuk doa doaku tiba di hatimu. Semoga hatimu terpeluk dengan kerja keras dalam kerjayamu. Dan biar aku di sini, melebih doakan untukmu. Supaya engkau lebih terasa damai. Dan sunyi tanpa bicaraku. Cuma hanya hati berdesir pada sayup sayup doa seorang yang ikhlas untuk memimpin kamu ke syurga.

Malam ini selesai untuk surat pertama aku untukmu. Seorang Gemini sulung. Semoga Allah merahmati kamu. Dengan menyebut nama Allah. Demi Tuhanku solat hajatku. Setiap hari tiadakan tertinggal. Demi kebenaran dan petunjuk Lauhul Mahfudz.