Pages

Saturday 1 October 2016

Assalamualaikum Ustazah...



Mikraj cinta antara kamu dan aku,
Malam ini terpacu bersama lagu yang merindu, 
Basah tangis dalam dingin malam yang bersatu, 
Kamu juga aku. 

Andai benar doaku benar, 
Yakin kamu dan aku pasti bersinar, 
Pada jalan-jalan cahaya, 
Pada ranting dahan agama, 
Pada bait istikharah cinta.

Kamu dan aku, 
Semoga kita pasti bertemu, 
Saat sendu syahdu yang memburu, 
Asyik harap pada sucinya qalbu, 
Terlindung mulia kerna Kamu yang Satu. 

Creator Hotel, Kulai
1 Muharram 1438

Tuesday 12 January 2016

Warkah 2 : Selesai Januari 2017

Malam ini sepoi sahaja. Aku karangkan sajak Langit Gemini semalam untuk kamu. Aku tak pernah berhenti membuat rujukan akan kerjaya kamu. Kerana aku tak ingin kisah silam berulang kembali. Aku ingin sentiasa bertindak tepat buat kamu. Memahamimu secukup mungkin. Mengenalmu tanpa bertanyakanmu. 

Demi nama Tuhanku dan Tuhan kamu, aku sandarkan doaku untuk tiba pada jagad khayalmu sentiasa. Aku tidak pernah merasa pasti, bila dirimu mengatakan Firdaus adalah kisah silam. Namun di dinding facebook masih tertera namanya. Apatah lagi kamu juga mengucapkan terima kasih seolah olah Firdaus antara tulang belakangmu saat hari graduasimu. Yang paling hampir, dia berada di sana. Membuat housemanship di hospital yang sama. 

Sekadar mungkin rahsia yang kamu mungkin khabarkan padaku. Saat ucap selamat tahun baru lebih kamu dahului berbanding aku. Benar, aku ciptakan perasaanku untukmu bukan kerana kerjaya dan wajahmu. Namun kerana solehahnya kamu bersama umi dan keluarga lain kamu. Lagu dendangan Meghan Trainor berduet bersama John legend juga sejurus selepas rancak bicara kita buat pertamanya. Aku bersyukur. Sedangkan aku bertahan untuk tidak berbicara padamu hampir seminggu dan tersilap tekan butang smileyku memulakan segala cerita. Balasku, lagu Charlie Puth kuuntaikan untuk kamu sedar bahawa aku bersedia bila-bila sahaja untuk membuka hatimu kerana Allah.

Saat itu, kamu juga menukar profil gambarmu. Kamu berbaju biru. Kebetulannya sama benar dengan profilku yang berbaju biru. Benar wahai Tuhanku, kamu dan segala tindakan kamu mungkin hanya segala kebetulan. Dan mungkin juga aku sahaja yang mengomong kosong. Namun apa yang aku pasti kali ini. Kamu harus aku mencuba. Untuk memelihara dan bersahabat mulia dengan nama Allah. Andai lancar jalannya, tiada salahnya untuk kita menuju ke sebuah baitul muslim. Insya Allah.

Kerjaya kamu sebagai doktor benar-benar butuh sabar dariku. Aku hanya sibuk saat ada submission kepada majlis sahaja, ataupun ada tender drawings yang harus disiapkan. Lain halnya jenis projek yang aku urus hanya berkenaan proposal di peringkat design mentah dan minit mesyuarat serta minit teknikal yang harus aku sudahi sebelum pulang. Kamu pernah khabarkan kepadaku bahawa tamat housemashipmu pada Januari 2017. Aku punya masa. Benar aku punya masa. Untuk memberi kamu ruang dan masa. Untuk kamu fokus pada kerjayamu. Sedang pula, posting kamu saat menjadi MO tidak mudah dan pasti di mana. Makanya aku akan menunggu penuh sabar. Kerana Allah Pencipta Hatiku dan hatimu.

Malam malam mutakhir aku sengaja pulang lewat. Setiap hari bermual Januari 1. Kadang tiba di rumah pukul 10. Mungkin juga 11. Sebelumnya aku berehat dan bertafakur di Masjid Greenwood. Di sini, ada ruang marmar yang sejuk dan tidak ditutup untuk aku bersolat sunat dan mengirimkan doaku untuk kamu. Demi Tuhanku, aku tidak pernah meninggalkan solat hajatku sebelum tidur. jauh dan dalam pelusuk hatiku, ingin benar aku bahawa kamu adalah wanita terakhir untuk benar-benar aku risik dengan lafaz mulia. Lafaz sakinah.

Aku sering berharap bahawa usahaku ini istiqamah. Selain dhuha yang sering aku tetapkan saat pagi hari. Mungkin juga Quran yang aku tambahkan tadabbur tafsirku. Aku ingin jadi yang terbaik buat kamu. Andai mungkin bukan kamu. Maaflah, namamu tetap bersuara dalam solat hajatku. Mungkin suatu masa aku dan kamu tiada jodohnya, maka saat itulah aku pohonkan doa Nabi Daud as. Menanti cinta yang hadir kerana cinta agung kepada Tuhan.   

Malam ini tepat 11.57 malam Januari 11. Hanya 3 minit sebelum menjengah hari kedua belas dalam Januari. Aku pohon agar aku tidak sering menekanmu dengan bicara nasihat dan khabar. Fahamku padamu harusnya bermaksud aku tidak sesekali mengganggumu. Biar doa aku terus berbicara. Demi Tuhan Pemilik Hati, mungkin Februari temukan aku dan kamu. Pertemuan untuk aku dan kamu kenal antara realiti. Semoga dipermudahkan Allah. Semoga kamu senang dengan aku. Juga aku damai dengan kamu.

Nukilan warkah keduaku ini merupakan kelahiran semula novel Islamiku. Aku cuba senekad mungkin, bahawa inilah masanya. Tiada lagi istilah gadis Thantawi untuk dijadikan aas penceritaan. Ini antara kamu dan aku. Mungkin kononnya kita bertemu di Rumah Tasik, siapa tahu? Semoga ia bernafas sama. Aku harus mula untuk kembali mencari pengeluar dan penerbit nukilan ku ini. Semoga ini jadi mahar terindah dariku untukmu. Harapnya Puan Mazenah ketika aku berada di bawah Homeroomnya dahulu di MRSM, akan senang membaca dan meneliti warkahku ini. Ingin meminta bantuan Prof Azmah Nordin, seakan terlalu jauh. 

Aku lepaskan segala yang aku rasakan tentang kamu. Dan aku mengawal rasaku pada titis air mata ku saat tahajud. Mungkin malam ini aku tahajud lagi. Tiada lagi setting alarm padaku. Segalanya dipermudahkan Allah. Segalanya seakan bernada setuju akan perasaanku terhadapmu. Andai ia benar, ia harus sukar. Andai ia benar, ia harus ada sekelumit serabut dan gusar. Andai ia juga benar, ia harus bernafas istiqamah. Antara kamu dan aku, hanya hijab doa kan menjadi jambatan.

Malam ini, aku berharap kamu sentiasa sihat di sana. Dari seorang teman istimewa yang bernawaitukan baitul muslim. Jaga dirimu. Kekal selalu bercinta dan merindu Tuhanmu. Semoga dirahmati dan semoga rahmat juga menutupi warkah keduaku malam ini. Tuhanku, sampaikan bisik doaku seorang arkitek kepada seorang doktor.


Monday 11 January 2016

Warkah 1 : Kamu Seorang Gemini

Dengan menyebut nama-Mu Tuhanku. Tiada daya untuk sekeping hati menyentuh sekeping hati yang lain. Juga tiadalah daya sang hamba untuk menolak rasa gelora yang membuncah. Sambil saban hari menjaga segenap jiwa dan raga. Sambil saban tahun menanti seorang zauj menjemput sang bidadari zaujahnya. 

Malam ini seperti selalu bagiku, ditemani sunyi dan hanya sepoi bayu malam menyentuh bahu dan rusuk tubuhku. Aku melihat jam di tangan. Hanya selang dua jam lagi. Tahun ini akan berakhir. Melabuhkan tirai, juga bermakna sudah genap dua tahun istilah seorang Gadis Thantawi melenyap dalam minda akal dan qalbuku. 

Istilah suci ini. Sering aku angkat pada nilai-nilai budaya konservatif Edinburgh nukilan Jane Austen. Kemudian aku sadurkan sedikit nilai islami kononnya biasan Ustazah Fatimah Syarha dan ikon Muslimin kontemporari seperti Hilal Asyraf dan Ustaz Pahrol Mohd Joui. Aku pernah dipuji dirimu sang Gadis Thantawi, bahawa aku jelmaan Ustaz Pahrol Joui. Dari sudut tulisan dan nukilanku. 

Dirimu dirisik seorang pemuda beragama. Saat aku tidak mampu menyempurnakan zahir dan batinku untuk dirimu. Saat bisik istikharahku berbicara pada tulus jujurmu. Dan aku dan kamu membiasakan dan mendamaikan pada seutus lafaz perpisahan. Bahawa dirimu bertemu jodoh bukan pada letak telapak tanganku pada ubunmu. Bahawa dirimu bertemu jodoh kerana mahal dirimu menjaga dan memelihara hijab-hijab rahsia antara sang Adam dan Hawa. 

Hari ini Januari sebelas 2016. Nama seorang gadis Thantawi yang pernah aku nukilkan pada celoteh mahar untuk seorang zaujah terikat pada tiga watak Islami dan Inggeris konservatif. Saidatina Fatimah ra, Jane Austen dan sudah tentu Kate Forster. Tiga nama ini yang menjadikan gambaran bakal zaujahku terlihat santun dan sederhana. Dan pada hari kesebelas ini, dengan nama Tuhanku aku menuliskan luah rasa dan doa titipku untukmu. Mungkin kamu gadis Thantawiku. Kamu yang bersifat secretive, mahal jualnya, labuh tudungnya. Aku nukilkan pada kanvas maya untuk kamu baca suatu hari nanti. Semoga ini mekar. Jarak ini yang aku ciptakan untuk jiwa aku dan kamu berhibernasi. Dari merusak hati hati yang lara. 

Aku suka untuk berharap bahawa ucap selamatmu di awal tahun. Akan membina jambatan untuk doa doaku tiba di hatimu. Semoga hatimu terpeluk dengan kerja keras dalam kerjayamu. Dan biar aku di sini, melebih doakan untukmu. Supaya engkau lebih terasa damai. Dan sunyi tanpa bicaraku. Cuma hanya hati berdesir pada sayup sayup doa seorang yang ikhlas untuk memimpin kamu ke syurga.

Malam ini selesai untuk surat pertama aku untukmu. Seorang Gemini sulung. Semoga Allah merahmati kamu. Dengan menyebut nama Allah. Demi Tuhanku solat hajatku. Setiap hari tiadakan tertinggal. Demi kebenaran dan petunjuk Lauhul Mahfudz.


Thursday 5 September 2013

Terbang Si Penyair Cinta

Semoga syair cintaku bukan untukmu. Semoga syair cintaku adalah yang tertulis rapi. Oleh Tuhan yang Maha Mencintai. Hati dan jiwa hamba-Nya yang memilih untuk mencintai-Nya seluruh hidup dan nafas.
Sudah agak lama. Jemari ini rindu untuk menitipkan rasa yang tergugah. Yang dari hari ke hari terus di sini. Bersemadi pada nama yang tiada bersuara. Memilih untuk meninggal gundah yang terbungkam. Dan terkadang menjerat kebil aksara bernama akad. Jemari ini, akhirnya ia mahu kembali. Semahu mahu seluas kehidupan.

Sedang rasa yang sedang hangat berbicara. Menulis untuk bercinta dengan Tuhannya. Maka damailah seketika. Dan Engkau yang mengerti seluruhnya. Betapa hati ini menepi segala indah. Yang terkarang dengan syair-syair cinta yang menusuk. Betapa rasa yang membuncah dan terbungkam, kian lama iakan semakin melikat. Demi menghapus jejak-jejak zina. Demi menafi suara-suara fitnah. Lalu benarlah manis fitrah oleh akad yang melafazkan cinta.

Dengan nama Tuhan yang menjadikan hati-hati yang berlari. Bahawa Engkau kan sentiasa membenar izin hatiku. Bercinta sepenuh jiwaku untuk hidup dan matiku demi dan hanya pada-Mu ya Ilahi Rabbi. Sebelum benar ia terungkap. Sebelum benar ia tercatit. Agar seluruh diriku. Damai dan bahagia biarlah di puncak keredhaan pada ketentuan-Mu.

Dan tika ruang sepi sang malam, meluah bait tanpa suara. Menitis jualah air mata yang merindu. Juga air mata ketaqwaan. Yang mahunya bertahan selama mungkin. Demi redha Tuhanku. Demi bahagia diriku di dunia sana. Pemilik dua hati yang menjaga jarak dan agamanya.

Maka hanyutlah berlari rasa yang kian suci. Terbang dan melupus dalam kepekatan malam yang Engkau ciptakan. Kiranya Engkau hadirkan gundahku dan pendam dirinya, maka Engkau bangunkanlah hati-hati kamu untuk terus setia mencintai-Mu sepenuh hidupku dan nafasnya.

Dan warna warni kanvas yang berduri. Biar ia meluka dalam bahagia. Biar ia berparut dalam damainya. Demi agama atas nama Maha Teratas. Biarkan jasad-jasad kita berjasa sama. Memberi bentuk dan jiwa sesama saudara. Sebelum tepat datangnya waktu. Sebelum berdetik beningnya fajar. 

Sentiasa pemilik jemari ini. Berdoa setia untuk rusuk kirinya. Agar agama sentias terpateri. Bahkan kalam Tuhan sentiasa bersama. Memeluk thiqah yang lembut seorang yang bernama wanita. Dalam untaian tasbih yang bercinta. Biar Tuhanku sentiasa bersamamu. Dan biar namamu lenyap penuh rahsia. Dari harap ikhlasku. 

Semoga bingkai hidupku. Kan Engkau lengkapkan. Bersama si gadis Thantawi. Biarpun jemari kan tahu. Bahawa segalanya telah tertulis. Bahawa segalanya akan tercatit. Suatu hari nanti menjemput si gadis Thantawi.

Aku menulis bertemankan air mata..
Kerna rasaku bukan kerana dirimu..
Bahkan damai dan bahagia oleh Tuhanmu..
Terciptanya kerna memeluk satu persatu..
Gementar dan luluh makna ayat cinta-Nya..

3125
"Selamat berjuang, semoga cemerlang.."











Monday 5 August 2013

Nota Perpisahan Ramadhan

29 Ramadhan. Itu nukil si Hassan, murid Imam Mulia al-Ghazali. Namun tak harus hamba memilih. Kerna asas utamanya, menitis air mata dan makin hebat jiwa Islamnya.

Malam ini ramai, merah mata hidungnya..
Malam ini ramai, alihkan wajah dari manusia biasa..
Malam ini ramai, alaskan selsema demi sembunyi nikmat bercinta..

Malam ini, takkan mungkin adalah malam lainnya..
Malam ini, harusnya malam terindah para hamba Tuhannya..

Yang berair hingus hingga luar biasa hidungnya..
Yang berdoa hingga tak mahu nampak batang hidungnya..
Yang bingkas bangun lalu ke bucu-bucu rumah Tuhannya..

Masing-masing asyik dan sibuk dengan cinta..
Masing-masing tak mahu ini terakhir kalinya..
Masing-masing tak mahu qalbu bergetar sehebat ini..
 Bahkan Maha Hebat dari segala isi dunia..

Sembunyikan air matanya..
Sembunyi takut gerunnya..
Sembunyi harap impinya..
Sembunyi sayu indahnya..

Jasad hanya di situ..
Tak mahu berganjak..
Sekadar asyik mengarang harap..
Bait puitis yang bermadah harap..

Sebelumkan fajar berakhir cerita..
Moga witir kan berulang air mata..
Pegang erat terik qalbu dan mata..
Berjalan bangun di kemudian hari..

Huraikanlah seluas manapun..
Fitrahnya bagaimanapun..
Takkan mungkin berulang sama..

3125

Saturday 13 July 2013

Nota Cinta Ramadhan 1

Suria ini silih berganti. Hari-hari akan menginjak. Suatu hari pastikan pergi. Terik mentari penuh darjat. Tak pernah termimpi Engkaukan pergi.
Fajar kini menginjak empat, 
Dan malam ketiga berpisah,
Sebak, lembut melambai dari hati,
Yang masih kecil dan rebung,

Mulut sedang chuba beribadah,
Kumat kamit merendah diri,
Mengunci benih-benih yang menjengah,
Hati, gamaknya sama,
Menutup kecil-kecil buruk sangka,
Teringat, minta dilupakan,
Terpendam, minta didamaikan,
Terlanjur, minta diampunkan,

Moga benarlah ia melupus,
Dengan rahmah dan resah taubah,
Indah nian menangis,
Kerna lebihnya gerun tak tercapai,
Cinta Tuhan Maha Memeluk,
Dibanding geletek rasa sang fitrah,

Apa juapun terlintas,
Semahunya biarkan hanya Engkau di sini,
Meniup roh-roh mahu berubah, berhijrah,
Cukuplah dua puluh lima yang tergadah,
Tak pernah ampuh tanpa khasyiatullah,

Kebil rayu yang sayu,
Tersenyum kerna masih mampu,
Menjaga jiwa segenap anggota,
Namun masihlah terus ia merintih,
Memohon untuk menangis,

Moga akhirnya,
Tersadur hati yang bersih,
Putihnya jernih bersama makna-makna Al-Quran,
Untuk pimpin bahagia untuk ke Sana.

3125







Tuesday 9 July 2013

Ramadhan : Lewati Aku Lagi

Engkau yang mendatang. Bikin aku keruan. Bikin aku pusing. Harus bagaimana untuk bercinta. Saat hujung engkau kan pergi.

Akhirnya engkau lewati aku lagi,
Tika jemari mulus redupmu,
Berbaur syurga nan setanggi,
Gapai pimpin jemari kedupku,
Yang belum sempurna menyuci,

Kurenung jauh berpaling darimu,
Bahwa indah matamu tak pernah cocok padaku,
Juga mahu benar aku khabarkan,
Bahwa cintaku penuh mendalam,
Takkan bisa terucap dengan suara,
Bahkan bait tulis yang terlafaz lancar,

Maluku kerna kesempurnaanku,
Yang belum pernah bisa melengkapimu,
Bahkan sering aku terlayu,
Saat engkau pergi berlalu,

Resah ini yang memeluk kudus jiwa,
Yang cuba aku nampakkan pada Cinta,
Dan bisik-bisik ini yang tak ternampak dek mata,
Tika gugus-gugus air mata,
Merindu setengah semesta,
Diam-diamkan sahaja,
Kerna gerun ini bersadur cahya,

Fitrahku biarkan terbuai nan indah,
Dipertiga malam yang aku titipkan,
Padamu aku tak pernah cuba untuk merasa,
Mahu berganjak menjauh darimu,

Lewati aku biarkan jemari kita terikat selalu,
Pegangi diriku selami jiwaku,
Sampai kapanku kan bermohon,
Benarkan aku gamit merasa cebis redha,
Dari warkah Cinta yang tersemat teratas segala,

Pada saat engkau pastikan pergi,
Benarkan aku,
Saat ini jemarikan bersentuhan,
Dan Tuhan menyaksikan,
Malam-malam bergemerlapan,
Tenang membahgiakn.

3125

Saturday 8 June 2013

Merisik Khabar Cintaku..

Dia memikirkan kembali warkah ulungnya berkisar Gadis Thantawi.  Usai bermunajat, Tuhan jentikkan. Gerakkanlah, lahirkanlah, jadilah seperti biasa. Seorang pemuda sederhana. Yang ingin melengkapkan diri sendiri. Sebelum menjemput sebuah amanah. Biar sesiapa pun bidadarinya. Sehingga saat itu, hatinya hanya untuk Tuhannya.
Doanya sering bertenggek di lazuardi senja. Lebih memilih bayu sore untuk mendamba sepi. Hati itu bukan tak pernah cuba untuk berdalih, apatah lagi meniup jauh-jauh bait rindu. Bahkan sering menuliskan dengan dakwat memekat. Saat pekat malam itulah yang sunyi dan sepi. Tika hanya Allah menemani. Tika hanya Allah yang memegang hati. Mengusap penuh erat. Duhai Tuhanku pegangi aku.


0

Aku seorang Fadhlul Rahman..
Yang kembali menulis segala tentang cinta..
Biarpun aku tahu dan waham..
Bahwa cinta jualah..
Yang bisa menerangkan makna cinta..

1

Mungkin tak siapa menyangka..
Bahwa Ali kan cocok untuk Fatimah..
Bahwa Ilyas juga cocok untuk Husna..
Bahwa Wentworth cocok untuk Anne..
Bahkan Wyler kan cocok untuk Kate..

Aku melihat dan aku meyakini..
Sejauh manapun jalan membina cinta..
Sejauh mana usaha menjaga jiwa..
Sejauh mana jua agama makin disempurna..
Engkau hanya seorang hamba..

Akhir cerita itulah cinta..
Saat akad lafaz dibaca..
Hujungnya dipateri kemas..
Bahwa silam itu adalah jalan..
Bak cahaya menerobos ruang..

Tolaklah andai hati tidak mampu..
Jagalah andai hati tulusnya mahu..
Kerna akhirnya adalah redha..
Kerna akhirnya adalah syurga..

Di Sana kita mahu bersama..
Di Sana jua matlamat kita tercapai sudah!!

2

Aku bukanlah pemuda kosong..
Yang engkau nampak..
Sering dan gamaknya pernah nampak..

Kerna engkau juga sebuah kekosongan..
Yang membiar ego menolak seluruh..
Bukan membina agama atas jiwa..

Malumu menafi sepenuh jiwa..
Menarilah ayat Mulia yang menafi cinta..
Tidak dibiar dibaja oleh-Nya..
Malah direntas oleh puitis hamba sahaya..

Aku bukanlah pemuda kosong..
Yang menunggu hanya dirimu..
Bahkan engkau jua bukanlah ruang yang kosong..

Kita kan sering bermain soalnya..
Kita kan sering cuba menetapkan jiwa..
Sebelum benar waktunya tiba..
Kita kan belum bersedia..
Kita kan belum layak untuk berbicara..

Demi rasa yang terpelihara..
Membuncahnya dipendam dek agama..
Demi Rabbul Izzati..


" Bertanya bukanlah merisik, berdoa bukanlah melamar, bertemu walimu, itulah berkhitbah. Bukti sebenar kesediaanku. "  (doasepi)



Tuesday 12 February 2013

Malam Cintaku 2

Kulit wahyu itu, diusap penuh bahagia. Biarpun kelat sentiasa merantai keping jiwa. Lalu dibuka pada akhir ia penah berhenti. Nafas yang dihela kini terhembus lega. Akhirnya memilih untuk mengiyakan pada puncak segala cerita. Pada penentu segala yang pernah bermula. Dibelek pada wajah yang bercahaya. Melirikkan hati yang kontang. Kering kerna terlalu menyibukkan jiwa dan anggota. Pada usaha yang bernama ibadah. Mulanya berjalan sama. Akhir malam itu berlalu, penat dan melayu.

Kita tak mampu menjangka sebuah kenyataan. Pahitnya, manisnya telah siaga ditentukan Allah. Hanya pada kadar yang ingin sehabis mungkin, kita mampu untuk bertemu jua.

Bukankah hati pernah berbicara. Bahawa berjanjilah menjaga hati dan cinta. Bahawa yang terpendam, biar sahaja ia tenggelam. Hanyut di bawah dasar. Dibawa jauh dari relung hati. Fitrahnya, tidak pernah mahu ia menghilang. Mahunya, biar sebentar cuma. Hadirlah di suatu hari yang indah. Tika segalanya benar-benar berbeza. Tika itu, yang terpendam halal untuk diluahkan. Saat itu juga, luka menghilang deras disembuhkan.

Hanya Tuhan Maha Mengerti. Bahawa jemari ini senantiasa dipeluk desir waktu. Juga seia mahu dibelai bayu malam. Yang singgah saban hari. Melihatnya bukan sekadar jemari. Bahkan minda dan jasadnya. Berusaha menyibukkan diri. Memerah segala keringat. Allah Tuhan Segala Alam. Allah Tuhan Segala Jiwa dan Jasad. Allah Pemilik Hati yang Bergelora.

Terimbasnya, pada sebuah setia janji. Yang bersedia terima segala. Yang tak pernah hanyut melayan zina. Kerna jiwa  yang pelupa, sering sibuk mendekati-Nya.

Menitislah renjis-renjis bait ketaqwaan. Yang faham benar. Bahawa mencintai tidak seharusnya memiliki. Kerna memilih sekeping hati antara jutaan hati, ibarat meniti di tali yang menipis. Sukarnya kerna pengakhirannya. Sebuah syurga itu bukankah yang dinamakan untuk sebuah pengorbanan jiwa dan anggota. Untuk ke sana, cinta harus bersedia kecewa. Untuk ke sana, cinta juga harus berwaspada pada sebarang bahagia. 


Bercinta pada sebuah gerak cerita. Yang dilalui penuh sukar. Dek kerna sebuah kesibukan mulia. Yang memenjara rasa sebelum waktunya. Sungguh beruntung insan yang bulat tekadnya. Kerna dia tahu bahawa hidupnya tak pernah merugi. Kerna yang dikejar adalah cinta dan redha Tuhan-Nya. Memeluk segala ruang dan waktu. Dan hadirnya seorang zaujah, bisa tambah kemanisan untuk berjalan ke sana.

" Kemudian, apabila engkau telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada ALLAH. Sungguh, ALLAH mencintai orang yang bertawakal.” 

(3:159) 

Andai perasaan ini adalah suatu kebenaran. Takkan mampu sekali iakan tergugah dek waktu yang merentas, dek silih insan mendekati, dek kaya ilmu dan taqwa diri. Betapa indah hakikat sebuah cinta. Tatkala hatikan mampu terima segala.








doasepi
-bersembunyi di balik tabir doa, sambil luka terpalit di keting setia, menuju ke rumah tasik lukisnya-



Tuesday 22 January 2013

Relung Hati 12


Allahu Rabbi..
Demi kasih dan kuasa-Mu..
Demi cinta dan anugerah-Mu..
Maha Memelihara, Maha Mencipta..
Yang terpelihara untuk yang menjaga..
Yang berusaha untuk yang memenjara dosa..

Tiap kata yang didoa..
Tiap bisik yang berbicara..
Melontar dan melompat sepenuh atma..
Melantun pada sisi agama..
Mencari sempurna yang penuh rahsia..
Dalam tulis nama yang bercanda..
Pada kalimah cinta tanpa aksara..
Merentap ingin hasratnya..
Sedalam dan sejauh ruang dan masa..

Allahu Rabbi..
Engkau Yang Maha Memberi..
Maha Mendengar, Maha Memegang..
Jasad dan anggota penanti cinta..
Bertumbuhnya atas dzikir setia..
Bercahaya atas dzina yang dilupa..

Akan sentiasa kupastikan..
Engkau Maha Terutama..
Dalam dasar qalbu sang pelupa..
Memahat sentiasa hingga ke sana..

Sebelum namamu kuucap..
Sebelum kalimah itu terlafaz..
Izin aku mencari bahagian jiwaku..
Sembunyinya berhikmah..
Barakahnya untuk agama..
Mahalnya tak pernah tergugah..

Namamu maafkanku..
Terbisik atas kekuasaan Tuhanku..
Sentiasa dengarkan aku..
Sentiasa yakinkan aku..
Bahwa hadirmu atas kebenaran Cinta Maha Satu..
Cinta engkau dan diriku..




doasepi
" menulis dalam bicara yang terpendam, dalam usaha tiada terpadam"



Saturday 29 December 2012

Tasbihat Cintaku..

Bismillahirrahmanirrahim,

Aku lukiskan dalam diam..
Bahawa hatiku butuh sebuah penghargaan..
Yang dijaga dan menjaga..
Mata dan hati bernama hamba..

Istikharahku kian jelas berbicara..
Bahawa inilah keharusan..
Mencari yang lebih kekal dan hampir..
Sedekat-dekat telingaku..
Takkan pernah jatuhkan aku..
Takkan pernah lemaskan aku..
Bahkan memeluk diriku penuh rindu..

Melepaskan bisikan yang berharap..
Biar sunyi selamanya sunyi..
Hati aku takkan dimiliki..
Kerna jiwaku yang mengingini..
Melepaskan bisikan yang berderap..
Suci tanpa hubung..
Sirna bersama cinta Agung..

Allahurabbi..
Allahurabbul Izzati..
Pemilik hatiku..
Istikharahku menetapkan segala..
Bahawa kanku lepaskan segala..
Lalu tawakkal penyambung cerita..

Menitislah air mata..
Kujatuhkan penuh bahagia..
Kuusap penuh rela..
Pada cintaku terpelihara..
Hadirnya dengan izin Maha Kuasa..

Kerna cinta yang lebih terutama, maka melepaskan bisik harap umpama mendekatkan doa istikharah. Kerna yang menyepikan suara. Bisa bertemu dengan izin-Nya. Tanpa terduga. Itu cinta terpelihara.


doasepi
- 25 Disember 2012 - 






Tuesday 18 December 2012

Keindahan Cinta : Kerna Tuhannya

Sentiasa hati itu berbicara. Pada Tuhan yang menjadikan perasaan yang terpelihara. Ia tertutup bersama sepi. Ia terpendam bersama kalam. Tika sedang tapak-tapak menyusun langkah. Membina sebuah harapan. Kesempurnaan dan keterikatan jiwa bersama Tuhan. Hanya sendu menemani. Dalam gelap malam yang mendiam. Tanpa ganggu hamba yang berbeda. Tanpa kacau hiruk dunia yang terleka.


Dan diantara tanda-tanda (kebesaran)-Nya, ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari JENISMU SENDIRI, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu, benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.

Ar-Rum, 21

Gugus air mata menjatuh lagi. Mengalir sambil mengusap pipi yang kering. Sudah lama ia kontang. Asyik dengan ibadah-ibadah dunia. Sehingga lupa soal rasa. Sehingga lupa lumrah sebuah fitrah. Sejuk air itu. Beku dan dingin. Memeluknya bersama bicara dengan Tuhan. Yang menjentikkan soal cinta. Yang meniupkan rasa yang tak mampu terungkap dek bait novel. Yang tidak bersifat sementara. Seperti picisan mereka yang melafaz sebelum akad. 


Dijadikan INDAH pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga).

Al-Imran, 14

Sering benar. Acap benar. Memohon penuh kerdil pada Tuhannya. Bahawa biarkan sahaja rasa itu. Tertancapnya dikebalkan dek dzikrullah. Yang membaja lembut. Memegang sosok jiwa sang pemuda. Yang butuh cinta selepas nikah. 

Biarkan sahaja cerita itu. Berbahagia tanpa kedekatan yang berapi. Hanya doa yang memangkin harap sekeping jiwa. Berlari dan terus berlari. Dari zina hati. Melihat kesejukan sejarah agung. Baginda dan Khadijah. Ali dan Fatimah. Dan Wildan dan Mardhiah. Hanya terus akan berharap. 

Sesungguhnya hawa nafsu ialah suatu bentuk keinginan yang tidak terpuji. Adapun keinginan yang TERPUJI adalah datangnya daripada panduan Allah s.w.t, yakni kekuatan ataupun dorongan yang menyebabkan manusia mahu menggerakkan dirinya untuk mendapat sesuatu perkara yang bermanfaat, sama ada untuk dirinya, keturunannya ataupun kedua-duanya sekali.

Imam Al-Ghazali

Dan mencarilah jalan cahaya yang bermanfaat. Menafilah duri onak yang mencanak. Biar lagu itu ada akhirnya. Biar aksara itu ada nokhtahnya. Kerna yang tidak berakhir umpama memendam tanpa rasa. Menusuk setiap detik. Luluhnya tak mampu dirasa sama. 

Suatu masa itukan tiba. Menuliskan yang terbaik untuk yang terbaik. Yang menjaga penuh setia. Yang memendam tanpa zina. Yang akhirnya mampu bertemu Tuhan Penguasa Cinta. Pujangga manapun, takkan pernah kisah. Ada apa dengan cinta Adam dan Hawa. 

Qalbu itu diteladani dari puncak rasa yang bercinta. Berharapnya penuh. Yakinnya tak pernah tergugah. Kerna DEMI dan HANYA Tuhan. Beda itu kan bangkitkan persoalan. Tentang nawaitu dan tanggungjawab. Tentang manikam dan jauhari.

Andai benar ia tertulis. Andai benar terukir. Ialah cinta yang terjaga. Batasnya dan gaulnya. Tika yang biasa mencebik muka. Jumud kata mereka. Namun redha Tuhan memayungi kita. Engkau dan aku.


Aku diamkan diri. Juga Engkau turut sama. Kerna kita tak pernah merasa pasti. Kerna kita masih banyak amanah harus diisi. Sebelum benar, cinta ini kan terjalin suci. 



doasepi
- melihat langit malam akan sentiasa kuberair mata -











Friday 14 December 2012

Lekang Cinta Palestina

Seminggu juga. Benar-benar cuba mengerti. Menyelami jiwa dan rasa. Setiap jantung Palestina. Yang bernafas sama. Bersendu sama. Pada ikat cinta iktikad kita. Terutama engkau dan aku. Pastinya tidak terlihat jelas namamu. Sering ku mencuba. Bertatih diriku. Lambat laun kan pasti terlihat. 

Kini di kejauhan pendam dan jaga. Aku dan dirimu tiada terlihat. Sering cuba untuk tidak terlintas. Nama dan baik peribadi. Mungkin ini hijrah. Berbisik setiap hari. Di cuping setiap Adam dan Hawa. Telah 1434 berlalu. Dan Palestina menangis tidak berlagu. Bermandi darah. Tanpa iring doa kita. Yang menguat geraknya bersama budi di dalam jiwa.


Sakit dan perit. Doa biarlah berlagu. Rindu yang satu. Pada tiap kucup nafasku. Tabahkan  hati. Cekalkan hati. Bersatu jiwa. Dalam luka yang perang calarkan. Aku kini. Hanya mampu membisu. Berbatu jarak darimu.

Dari sebuah titik kejauhan, lazuardi itu menyapa lembut. Hati yang tak mampu untuk membantu. Hanya membatu bersama doa-doa rapuh. Bagaimana dengan suara sama di sana? Engkau kuharap bersamaku. Secara bait dan nawaitu. Semoga ikat kan bawa hati-hati yang menyucikan bersama. 

Solidariti silih berganti. Menjengah khabar-khabar dengan mata dan telinga. Bahawa engkau di sana. Kekal berjuang secara fiskal. Aku hanya mampu. Tidak sekuat iman dan jihadmu. Hanya bersama ilmu-ilmu baca dan korek sedalam-dalamnya. Lalu aku letakkan dirimu dalam ketengahan kegembiraan dan kedukaanku. Bahawa tarikh ini benar-benar keramat. Benar-benar mengguncang lara seorang saudara!


‎" Palestin adalah negara kita dari LAUT MEDITERRANEAN hingga ke SUNGAI JORDAN dan kita tidak boleh melepaskannya walau seinci pun..."


Khaled Meshaal, pemimpin Hamas


Nukilku berbicara tentang luhur dan tegas. Bahawa cinta kita harus terpaut rapi. Dengan Quran dan sunnah. Dengan pegangan dan istiqamah. Bukan sekadar McDonald. Ia lebih dari segala yang nampak. Menyucikan jiwa-jiwa yang butuh ketenangan. Biarpun kini telah bisa menghirup bau-bau darah mujahid yang mulia. 

Bukan ia soal manusia yang berhak hidup saksama. Bahkan ia lebih dari segala dunia. Sedang mereka berdoa selontar suara yang mungkin. Sedang kita hanya berdoa dalam jiwa yang tidak segagah mereka. 

Duhai dirimu di sana. Aku tak pernah pasti bahawa yakinku setakat mana. Namun aku sentiasa pasti bahawa engkau saudara tercinta buat diriku. Tak pernah lekang. Jangan pernah cuba menghilang. Janji yang terpegang. Atas agama Maha Mulia. Bahawa kan sentiasa kusebar. Bahawa engkau milik kami semua. Bahawa restu kami sentiasa berlagu sama.

Andai mampu untuk ke sana. Biar mampu kucium dirimu. Dahi lembut yang kentalnya Allah di dalam jiwa. Memegang laras yang biasa. Berteman dzikrullah yang mulia. Tahajjud dirimu yang kudamba. Semoga bersama kita ke syurga. 

Semoga solidariti benar-benar bermakna. Semoga usaha benar-benar mulia. Aku masih termanggu. Melihat merpati yang hitam. Bukan gagak yang putih. Berubah takkan semena-semena. Berhijrah kita biar bermakna. Semoga hijrah aku dan engkau. Berdasar sama, beriktikad sama, menuju kesempurnaan yang selamanya. Demi redha Tuhan Maha Mulia.

Engkau adalah sesiapa yang mampu merasakan. Bahawa tak pernah aku bercinta. Seindah ini menjauhi zina.



doasepi
-Wangsa Ukay-


Tuesday 4 September 2012

Malam Cintaku 1



Allah mendengar setiap bisik. Kata dan anggota. Yang berdoa mampu merasa. Yang berusaha mampu merasa. Kerna Tuhan mereka sentiasa di jiwa. Kerna syurga sentiasa di mata.

" Dan mereka yang diredhai Allah itu ialah yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri. "

(Furqaan, 64)

Kembali aku kepada Tuhanku, biarlah sebenar-benar kembali. Bukan aku sekadar menjejak detik silam. Terkadang mencari khilaf makna dan nawaitu, ibarat menjemput doaku yang berharap kembali. Tika saat itulah hati ini kembali bergelora. Tika hati yang mulus. Cuba untuk melupakan dan membenci. Sedang fikir dan aqal bukan DEMI dan HANYA Tuhan.

Dia Maha Mendengar. Setiap bait. Setiap sendu dari dalamku. Setiap gundah yang tidak berdosa. Sekadar terpalitnya berbicara antara salah dan benar. Bukan zina-zina terhampir. Tika Dia selamatkan hamba-Nya yang terpilih. Bergetarlah jiwa aku dan dirimu yang naik turunnya sengsara. Bukan bahagia yang tersemat di jiwa.

Dia Maha Memerhati. Setiap aqal yang cuba berusaha. Dan hasanah yang berbicara bisakan menghapus. Jejak jerumus yang tertinggal. Jejak alpa dan sederhana kononnya. Biar sahaja aku sendiri. Menulis rencah rahsia. Bersama redha Maha Pencipta.

Aku melihat namamu. Kadang sejuk. Kadang damai. Kadang gundah. Mungkin sahaja aku sendiri. Tidak sebenarnya kembali. Kepada Tuhanku sendiri. Seperti mana namamu yang kembali seperti azam dirimu.

Menghapus jejak-jejak persamaan. Menghurai jalin-jalin perpisahan. Dan Dia ada selagi mana aku terus berdoa. Maafkan culas hati aku yang degil. Bersembunyi bersama pendam sepi. Yang aku dan dirimu jalinkan. Bersama ikat iman dan sedia. Antara nampak dan kusam.

Dari sini, aku cuba menulis warkah-warkah sepi. Sedang khabarkan gelita warkah jiwa seorang yang sembunyinya tulus. Bukankah Dia tujuan aku dan kamu Maha Terutama. Bersama kebil mata dan hati yang sentiasa basah.

Biarkan sahaja aku bersembunyi. Kerna dirimu tidak sesekali ke sini. Lapang ini serendah suara dan jiwa aku luiskan. Sebagai seorang manusia yang mengintai suratan Ilahi.

Aku menulis buat seorang gadis Thantawi. Halalnya kerna jaganya. Sempurnanya kerna usahanya. Manisnya kerna hijrahnya. Dan bertemunya kerna tepat waktunya.

Tika menginjak waktunya. Semoga segalanya cukup halal buatku. Semoga segalanya cukup sempurna buatku. Bukan sekali aku bermain kata, apatah lagi menyulam ayat-ayat cinta. Mungkin timbulnya namamu. Untuk yang terbaik dari suratan Penciptamu. Begitu juga diriku.

Harusnya aku dan kamu. Sama menunggu. Sama bercerita kepada Tuhan Maha Satu. Meluah rindu. Meluah sendu. Biar likat cinta agung. Biar sunyi dari zina. Aku berlindung. Buat dirimu dan diriku. Yang saban waktu bermain gundah. Antara waktu dan sedia. Antara rasa dan taqdir-Nya.

Lindungilah hamba-Mu ya Allah. Hamba-hamba yang memohon cinta-Mu, juga memohon cinta manusia yang mencintai-Mu, bahkan sering memohon rasa cinta untuk beramal DEMI dan HANYA untuk-Mu. Kepada-Mu aku serahkan. Segala rasa yang sering membuncah. Segala usaha yang sering berahsia. Segala setia yang berbicara.

Menulisku sepenuh atmaku. Biar darah jadi air mata. Biar cinta bawa ke syurga. Biar sedia tiba waktunya..

Sunday 2 September 2012

Relung Hati 11

Tertiuplah rasa membuncah. Detaknya terpendam oleh agama. Gelintarnya menyala oleh Tuhan dan rasulnya. Biarkan ia terus bertiup. Doa sepi itu beristikharah lagi. Dalam ia terpendam. Astaghfirullah pinta didamaikan hati. Sebelum waktunya tiba.

Saat rasa itu membuncah..
Cuba ia berteduh dari mengucapkannya..
Menjauh moga rasa ingin terbazir..
Juga darikan ia hanyut..
Dengan campur yang belum bersedia..

Bersahajalah rasa itu..
Cebis yang cuba dinanti..
Dipendam erat jauh-jauh..
Menitis bersama parah getar seluas fitrah..
Berharap ia pilih terakhir..

Mencari makna diri..
Yang tegar bersatu pada jalan syurga..
Seteguh manapun rasa itu..
Iakan terbang tiap malam..
Menggapai bintang yang terindah..
Mengucap harap memandu doa..

Menambak jarak masa..
Tanda jujurnya jelas terlihat..
Beraninya terucap..
Pada setia bait istikharah..
Menempuh jalan-jalan kejauhan..

Berlebihan untuk meraih..
Butuh sepenuh penghayatan..
Bukan sekadar yakin dan manik penuh kudus..
Bahkan harus menepis gusar gundah dan gelisah..

Menegur dengan selayaknya..
Pada hijab hati seorang manusia..
Berat takkan pernah terukir dek senyum..
Gigih dari sudut paling dalam..
Hanya mampu meniup dari detak jantung..
Mencuba untuk berbicara..
Bersama erat rasa yang dipegang..

Bersama Tuhanku..
Relung hatiku membuncah lagi..
Bersama damai dan rasa tergantung..




-doasepi-
The Curve




Saturday 1 September 2012

Relung Hati 10

Demi kalam dan sunnah yang mulia, maka muhasabahlah cintamu. Bisa dekatkan Tuhan pada hamba-Nya. Bisa kabulkan doa sepenuh jiwa. Bisa pendamkan bicara dari zina. Bisa temukan Adam dan Hawa. Bisa larikan aqal dari yang bukan sewenangnya.
Malam dingin peluklah jiwa..
Usah biar malu jadi sengsara..
Bersembunyilah duhai gelora..
Yang di balik nama itukan sentiasa menjaga..

Kala bait suci menusuk dalamnya jiwa..
Maka Dialah Lebih dan Maha Terutama..

Sucinya keping lembut jiwa..
Kerna butuh nikmatnya bercinta..
Sebenar kudusnya makna cinta..
Sempurnanya bisa bawa sampai syurga..
Wujudnya hanya buat mereka yang siap sudah bersedia..
Maka wajblah itu jadi yang terutama..

Pada sisi sebuah wajah setia..
Mencoret tiada nama di pelosok jiwa..
Mencari-cari yang bermakna sama..
Mencari-cari yang hilangkan nafsu dunia..
Mencari-cari yang sudah tentunya berubah hidup DEMI dan HANYA Tuhannya..

Yang ingin cinta dipelihara..
Oleh yang berusaha untuk memelihara..
Jiwa dan seluruh anggota..
Setiap saat detik hidupnya..

Sayu-sayu sengsara..
Mengolah pada Tuhannya..
Sepenuh yakin doanya lebih dari segala isi dunia..
Yang bisa menjentik suam rasa..
Yang kini belum jelas dek mata..
Masih bisu kata wacana..

Kepada-Mu dia itu ingin benar bercinta..
Sebelum waktunya biarkan dia sengsara..
Mengutip bekal iman dan taqwa..
Menyapu duri sembilu durjana..
Membasuh luka dunia..

Kerana-Mu dia bercinta..
Pada nama yang selayaknya tiba..
Menjelma mendamaikan jiwa..
Terpalit doanya rasa gundah gulana..

Kerna lumrah sebuah cinta.. 
Manisnya kerna menghilangkan..
Tak terkatanya kerna cuba untuk bertahan..
Air matanya kerna faham..

Bahawa cinta itu kudus..
Jauh dari ikhtilat yang menghalus..
Pada irama dan lagu yang mulus..

Kerana-Mu lahirnya cinta..
Yang Engkau jaga..
Dari bara zina yang hina!!


-doasepi-
The Curve

Monday 27 August 2012

Aku : Pemuda Thantawi 4

Aku tutupkan segala cerca dan dendam darimu. Aku hijabkan segala sangkaku terhadapmu. Bakal rusuk kiri untuk seorang zauj yang memelihara. Pada Tuhanku aku berserah. Demi madah cintaku. Bertasbihnya selepas nikah. Semoga tetap di jalannya. Dan akhirnya direstui.

Malam itu kebil mata tak mampu untuk terlelap. Mengintai dari tirai kamar. Memerhati anugerah malam yang Tuhan ciptakan. Gelap dan sunyi.

Tanpa ada suara yang menepis telinga. Tanpa ada tangan mencapuk pena. Hanya jelas di fikiran, adalah sebuah kalam hijau. Tak pernah berdebu. Dalamnya ada kalimah yang sentiasa membangun jiwa sang pemuda.

Tika waktu sebeginilah.

Dari atas sebuah rak kayu. Lantas dicapai oleh tangan yang lemah bersama hati yang bungkam. Bisik dari hatinya. Bercerita tentang jarak yang cuba bersembunyi. Tentang hasta yang tidak terkira. Tentang depa yang tak mampu untuk memeluk.

Maka bersembunyilah hati sang pemuda Thantawi. Jauh dari bunyi yang pada deretnya senantiasa bermaksud sepi. Tanpa wujud lagi sebuah cerita tentang penantian. Betapa gerun dan takut menarik dirinya. Lalu dek kerna telah tetap hatinya. Tersimpanlah segala derai kesakitan demi sebuah keredhaan. Segalanya dari Tuhan. 

Bukankah firman agung sentiasa memelihara jiwa yang setia? Yang tertolak oleh cebis rasa. Yang gemar bermain dengan segala ubah rasa. Sulitnya kerna salah sangka. Sulitnya kerna tak mampu merangka. Sebuah keredhaan yang berbeda pada pandangannya.

Hanya beralun suratul Nisa dan Isra'. Dan menitislah rayuan rindu. Menarik penuh luhur. Dari kelopak mata yang menunggu masa menggugurkan sebuah kenikmatan yang tiada tara. Betapa menyimpan dan memendam rasa itu sukar. Bersama jerih perih istikharah yang setia. Memohon jalan-jalan cinta yang Dia redhai.

Basah. Lebat. Lelah. Dan pejam mata pemuda itu hingga cebiknya urat kornea. Merindui sebuah harapan mulus. Yang tersekat membina titik-titik kejauhan. Maka tuliskan sahaja. Pucuk surat dan untaian doa seorang pemuda bernama hamba.  Mencari nama seorang gadis Thantawi.

Sambil langit berdesir. Menyapa hujan itu turun membasahi bumi. Bersama kesamaran dan kegundahan nama yang semakin terurai ejaannya. Oleh pepasir di pantai. Perlahan derai pantai  itu memilirkan. Hingga hilanglah yakin. Hingga tersoroklah bahagia. Lalu yang terlihat hanyalah sebuah kegundahan yang tak pernah menyapa jalan-jalan cinta.

Bukankah Dia kabulkan doa hamba yang penuh kesulitan. Penuh penngharapan serta penuh kesetiaan? Bahawa berjuang dan mempersiapkan diri biarlah tanpa kutuk dan cerca. Bahwa memperindah dan membajai diri biarlah tanpa dendam melata? Dan Tuhan pemuda itu Maha Mendengar. Setiap yang terbuku. Malam-malam harinya.

Bertemankan kalam hijau dari atas sebuah rak kayu yang berdirinya teguh. Ketika Naml berbicara pada 53. Bahwa Dia kan selamatkan orang yang beriman dan selalu bertaqwa. Kerna selalu bertaqwalah iman berbicara. Kerna selalu bertaqwalah istikharah dilontarkan sama. Meruntuhlah ego sang pemuda. Detik itu, maniknya lebih deras. Sejuk lembut di pipi bahkan lebih sejuk dari hujan di luar sana.

Pemuda itu mendingak ke langit. Sayu dan berdoa. Sayup suaranya serak. Hingga kunang-kunang kan bercahaya mendengar auranya. Mungkin juga sang cengkerik kan pendamkan bunyinya. Demi memilih untuk mendengar esak suara sang pemuda.

Dan berbicaralah atas nama sebuah cinta agung. Terpendam. Berusaha penuh jiwa.

Tidak harus sesekali dirimu memilih untuk menyatakan bicara atas unggun api. Maraknya menghapuskan fitrah rasa yang terpelihara. Hanya Engkau mampu selamatkan. Dari fitnah dunia yang kasar katanya. Dari fitnah dunia yang sekian lama seakan mampu jadi seorang gadis Thantawi. Namun akhirnya hijab sendiri yang menggoncang. Bahwa yang lama harus dicerca untuk dilupakan.

Dan bukankah telah Allah ciptakan bumi, di tengahnya ada sungai? Dan munculnya gunung di celah-celah untuk menyokong? Tika bergema ayat 61 pada kemuliaan an-Naml, maka sang pemuda mengerti.

Bahwa benar-benar menjiwai penantian itu. Seharusnya disertai oleh sebuah doa yang tulus suci. Takkan dihurai oleh kebencian yang tidak bertepi. Takkan terlerai oleh sebuah hakikat yang maknawi. Biarkan sahaja ayat-ayat sang gadis berlalu. Lalu hadirlah firman Tuhan di sisi. Menyokong dan memberi sepenuh erti. Makna hidup bersama hati.

Tatkala terhapus nama di Luh Mahfudz. Umpama sebuah kejauhan yang abadi.

Allah Yang Maha Berhak Dicintai. Maha menjadikan pasangan yang mencari. Bertemu mereka atas kehendak aturan Ilahi. Andai demi rasa yang suci semata. Maka berpisahlah demi sebuah perjalanan yang lebih terperi nikmatnya nanti. Di sana sebuah persinggahan yang kan kekal abadi. Tika bisik kecil sang pemuda. Untuk seorang gadis Thantawi.

Di sini aku masih menulis tentang dirimu. Gadis Thantawi. Mulianya kerna kesabaran dan kebahagiaan dalam jiwanya. Yang mencari keredhaan Tuhannya. Yang menafikan namaku tanpa sebarang cerca dan dendam yang melata. Yang aku hormati kerna egomu. Sentiasa dibasuhi al-Quran dan hadis Baginda saw. Bukan semata pedoman manusia-manusia yang mentafsir dari keduanya.

Sang pemuda itulah,
Dan ketika waktu menghadirkan rasa membuncah,
Dirinya ikat bersama sabar dan berdiam diri yang setia menjengah,
Dan puasa dan beribadah jemaahnya,
Titiskan kepasrahan yang semakin parah,
Bersatu bersama soal fitrah yang terindah,
Terpelihara dan berjuanglah,
Tanpa penat lelah,
Demi perhentian penuh makrifah,
Dua jiwa yang menadah,
Erti cinta dari Tuhanku ya Allah!!


-doasepi-
Bukit Mas, Melawati