Pages

Wednesday 12 October 2011

Aku Sembunyikan Namamu : Di Balik Redha Tuhanku


Menantilah. Selagi hujan belum ke bumi, tetaplah pada sebuah janji. Kerna hujan itu ciptaan Ilahi. Dan risikan itu sebuah Luh Mahfudz yang suci. Pilih dan bersabarlah pada rintik yang cuba merisik hati. Yang takkan termampu puteri Islami menafi, andai hujan adalah seorang pemuda Thantawi.
Angin bayu itu..
Sunyi tanpa dosa..
Hikmahnya terisi rindu bahagia..
Tak mampu juga ia mendamai jiwa..
Melupakan untuk menemui..
Memelihara demi Ilahi..
Tak mahu kita terjatuh..
Yang takkan mungkin berdiri lagi..

Maka hari-harimu terisi. Bersama isi yang nawaitunya satu. Hanya satu, untuk selamanya. Dirimu hidup bukankah untuk Dia? Bangkitkan dahulu nikmat-Nya padamu. Soalkan terlebih dahulu nikmat-Nya menarik dirimu kembali mendekat-Nya. Kemudian sahaja engkau harus bertanyakan, apakah cinta itu harus engkau miliki. Perasaanmu benar, kerna engkau sedang melakukan apa yang terpelihara. Engkau sedang menjaga apa yang seharusnya terjaga. Benar juga, engkau sedang berusaha sedaya upaya.Tika hatimu sentiasa berkata, aku mahu redha Yang Esa.

Lalu bergema suara Ilahi, bila terkadang asyik dirimu berusaha, terkena tempias oleh Penciptamu :

إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه

“ Segala amalan adalah berdasarkan niat. Setiap orang hanya mendapat apa yang diniatkan. Justeru, sesiapa yang penghijrahannya adalah menuju kepada Allah dan RasulNya, maka penghijrahannya adalah penghijrahan kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang penghijrahannya kerana dunia yang bakal diperolehi atau kerana WANITA YANG BAKAL DIKAHWINI maka penghijrahannya adalah penghijrahan menuju kepada apa yang dingininya ”.

(Sahih Bukhari dan Muslim) 

Tika seorang gadis itu terpelihara kerna maruah agungnya, terjaga kerna batas katanya dan melitup kerna takutkan Penciptanya. Tika di nun sana, seorang pemuda sedang juga berpuasa memenjara nafsu. Sedang juga membina kestabilan hidup bersama iman dan taqwa. Pada sebuah pendam rasa yang hanya yang halal bernikah, mampu tafsirkan. Dan betapa tabah itu inti segala. Kerna yang bertemu pada nawaitu yang penuh redha. Hanya yang tabah pada dunia yang lara.

"...jangan minta hidup yang mudah tetapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”

(Dr Pahrol Joui)

Terkadang terbuai, biarpun tidak ternoda. Namun syaitan sedikit telah bergembira. Lalu terguris sebuah rasa yang memendam dari jauh. Betapa berita itu harus. Betapa khabar harus menjelma. Pada sebuah hijab-hijab Ilahi. Nampaknya hanya untuk mereka yang dekat pada-Nya. Berteman titis air mata kedamaian. Saat kesepian mulai membuncah, melepaslah segala kehangatan sebuah rasa yang terpendam. Dan Dia melihat dirimu penuh redha.

"...tatkala itu, menangislah kerana tidak mampu menangis kerana bimbang ALLAH SWT sudah 'menutup hatimu' dari merasakan kehangatan cinta, kasih dan rindu kepada-NYA. Menangislah, kerana hakikatnya jiwamu sedang menderita 'sakit'! "

(Noraslina Jusin)
Belajarlah dari tanah. Hujan yang turun diterima sahaja. Tiada ditempias kepada daun-daun di tepinya. Sedang daun terlalu tetap dirinya, hingga selalu lantunkan rintik hujan ke arah berbeza. Menetaplah sebuah rasa. DEMI dan HANYA Allah swt. Lalu derita sakit sebuah rasa, berlalu pergi penuh makna.

Berdoalah suara-suara menjauh. Bertambahlah segala saksi. Bahawa bukan hanya malam yang melihat jiwa. Juga fajar dan setiap detik yang berusaha mengaminkannya. Andai nawaitu itu benar, andai jujurnya mampu mendiam, berdoalah terus berdoa. Dan hakikat jauh sebuah penantian, faktanya adalah 'ia sukar dan perit. Ia gundah bernada sama. Ia cemburu pada bahagia.'


وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ

"Dan sesungguhnya KAMI telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan KAMI lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya."
( Surah Qaaf ayat 16 )

Mungkin sahaja kesukaran sebelum tiba waktunya, takkan mampu merungkai makna keindahan selepasnya. Betapa kejelasan dan ketetapan sekeping hati, bukan kerna kerap sebuah pertemuan, namun kerna dekat sekeping hati menjauhi zina. Tatkala merindu hanya Tuhan bisa dengarkan. Tatkala mampu berbicara hanya doa mahu ia sampaikan.

Betapa pertemuan dan perpisahan demi cinta dan takutkan Dia di atas sana, akan pasti bertemu kembali. Ia terpelihara sebelumnya. Malahan ia berbuah redha selepasnya. Berdoalah dan berusahalah. Semoga mencintai Tuhan, kan mendekatlah segala rasa suci yang terpelihara. 

Ungkaplah rasa mulia duhai yang terpelihara..
Nescaya, takkan mampu terucap sebelum akadnya..
Hanya, mempersiap jiwa-jiwa..
Berpandukan sunnah dan firman-Nya..
Bersama rezeki dan stabil dirinya..
Moga kan hadir di tengahnya..
Bait-bait doa yang hubungkan dua jiwa..
Terhijabnya mulia..
Kerna takut dan harapnya..
Pada redha Allah Penguasa Cinta..




arthantawi 

No comments:

Post a Comment