Pages

Tuesday 4 September 2012

Malam Cintaku 1



Allah mendengar setiap bisik. Kata dan anggota. Yang berdoa mampu merasa. Yang berusaha mampu merasa. Kerna Tuhan mereka sentiasa di jiwa. Kerna syurga sentiasa di mata.

" Dan mereka yang diredhai Allah itu ialah yang tekun mengerjakan ibadat kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri. "

(Furqaan, 64)

Kembali aku kepada Tuhanku, biarlah sebenar-benar kembali. Bukan aku sekadar menjejak detik silam. Terkadang mencari khilaf makna dan nawaitu, ibarat menjemput doaku yang berharap kembali. Tika saat itulah hati ini kembali bergelora. Tika hati yang mulus. Cuba untuk melupakan dan membenci. Sedang fikir dan aqal bukan DEMI dan HANYA Tuhan.

Dia Maha Mendengar. Setiap bait. Setiap sendu dari dalamku. Setiap gundah yang tidak berdosa. Sekadar terpalitnya berbicara antara salah dan benar. Bukan zina-zina terhampir. Tika Dia selamatkan hamba-Nya yang terpilih. Bergetarlah jiwa aku dan dirimu yang naik turunnya sengsara. Bukan bahagia yang tersemat di jiwa.

Dia Maha Memerhati. Setiap aqal yang cuba berusaha. Dan hasanah yang berbicara bisakan menghapus. Jejak jerumus yang tertinggal. Jejak alpa dan sederhana kononnya. Biar sahaja aku sendiri. Menulis rencah rahsia. Bersama redha Maha Pencipta.

Aku melihat namamu. Kadang sejuk. Kadang damai. Kadang gundah. Mungkin sahaja aku sendiri. Tidak sebenarnya kembali. Kepada Tuhanku sendiri. Seperti mana namamu yang kembali seperti azam dirimu.

Menghapus jejak-jejak persamaan. Menghurai jalin-jalin perpisahan. Dan Dia ada selagi mana aku terus berdoa. Maafkan culas hati aku yang degil. Bersembunyi bersama pendam sepi. Yang aku dan dirimu jalinkan. Bersama ikat iman dan sedia. Antara nampak dan kusam.

Dari sini, aku cuba menulis warkah-warkah sepi. Sedang khabarkan gelita warkah jiwa seorang yang sembunyinya tulus. Bukankah Dia tujuan aku dan kamu Maha Terutama. Bersama kebil mata dan hati yang sentiasa basah.

Biarkan sahaja aku bersembunyi. Kerna dirimu tidak sesekali ke sini. Lapang ini serendah suara dan jiwa aku luiskan. Sebagai seorang manusia yang mengintai suratan Ilahi.

Aku menulis buat seorang gadis Thantawi. Halalnya kerna jaganya. Sempurnanya kerna usahanya. Manisnya kerna hijrahnya. Dan bertemunya kerna tepat waktunya.

Tika menginjak waktunya. Semoga segalanya cukup halal buatku. Semoga segalanya cukup sempurna buatku. Bukan sekali aku bermain kata, apatah lagi menyulam ayat-ayat cinta. Mungkin timbulnya namamu. Untuk yang terbaik dari suratan Penciptamu. Begitu juga diriku.

Harusnya aku dan kamu. Sama menunggu. Sama bercerita kepada Tuhan Maha Satu. Meluah rindu. Meluah sendu. Biar likat cinta agung. Biar sunyi dari zina. Aku berlindung. Buat dirimu dan diriku. Yang saban waktu bermain gundah. Antara waktu dan sedia. Antara rasa dan taqdir-Nya.

Lindungilah hamba-Mu ya Allah. Hamba-hamba yang memohon cinta-Mu, juga memohon cinta manusia yang mencintai-Mu, bahkan sering memohon rasa cinta untuk beramal DEMI dan HANYA untuk-Mu. Kepada-Mu aku serahkan. Segala rasa yang sering membuncah. Segala usaha yang sering berahsia. Segala setia yang berbicara.

Menulisku sepenuh atmaku. Biar darah jadi air mata. Biar cinta bawa ke syurga. Biar sedia tiba waktunya..

No comments:

Post a Comment