Pages

Tuesday 12 January 2016

Warkah 2 : Selesai Januari 2017

Malam ini sepoi sahaja. Aku karangkan sajak Langit Gemini semalam untuk kamu. Aku tak pernah berhenti membuat rujukan akan kerjaya kamu. Kerana aku tak ingin kisah silam berulang kembali. Aku ingin sentiasa bertindak tepat buat kamu. Memahamimu secukup mungkin. Mengenalmu tanpa bertanyakanmu. 

Demi nama Tuhanku dan Tuhan kamu, aku sandarkan doaku untuk tiba pada jagad khayalmu sentiasa. Aku tidak pernah merasa pasti, bila dirimu mengatakan Firdaus adalah kisah silam. Namun di dinding facebook masih tertera namanya. Apatah lagi kamu juga mengucapkan terima kasih seolah olah Firdaus antara tulang belakangmu saat hari graduasimu. Yang paling hampir, dia berada di sana. Membuat housemanship di hospital yang sama. 

Sekadar mungkin rahsia yang kamu mungkin khabarkan padaku. Saat ucap selamat tahun baru lebih kamu dahului berbanding aku. Benar, aku ciptakan perasaanku untukmu bukan kerana kerjaya dan wajahmu. Namun kerana solehahnya kamu bersama umi dan keluarga lain kamu. Lagu dendangan Meghan Trainor berduet bersama John legend juga sejurus selepas rancak bicara kita buat pertamanya. Aku bersyukur. Sedangkan aku bertahan untuk tidak berbicara padamu hampir seminggu dan tersilap tekan butang smileyku memulakan segala cerita. Balasku, lagu Charlie Puth kuuntaikan untuk kamu sedar bahawa aku bersedia bila-bila sahaja untuk membuka hatimu kerana Allah.

Saat itu, kamu juga menukar profil gambarmu. Kamu berbaju biru. Kebetulannya sama benar dengan profilku yang berbaju biru. Benar wahai Tuhanku, kamu dan segala tindakan kamu mungkin hanya segala kebetulan. Dan mungkin juga aku sahaja yang mengomong kosong. Namun apa yang aku pasti kali ini. Kamu harus aku mencuba. Untuk memelihara dan bersahabat mulia dengan nama Allah. Andai lancar jalannya, tiada salahnya untuk kita menuju ke sebuah baitul muslim. Insya Allah.

Kerjaya kamu sebagai doktor benar-benar butuh sabar dariku. Aku hanya sibuk saat ada submission kepada majlis sahaja, ataupun ada tender drawings yang harus disiapkan. Lain halnya jenis projek yang aku urus hanya berkenaan proposal di peringkat design mentah dan minit mesyuarat serta minit teknikal yang harus aku sudahi sebelum pulang. Kamu pernah khabarkan kepadaku bahawa tamat housemashipmu pada Januari 2017. Aku punya masa. Benar aku punya masa. Untuk memberi kamu ruang dan masa. Untuk kamu fokus pada kerjayamu. Sedang pula, posting kamu saat menjadi MO tidak mudah dan pasti di mana. Makanya aku akan menunggu penuh sabar. Kerana Allah Pencipta Hatiku dan hatimu.

Malam malam mutakhir aku sengaja pulang lewat. Setiap hari bermual Januari 1. Kadang tiba di rumah pukul 10. Mungkin juga 11. Sebelumnya aku berehat dan bertafakur di Masjid Greenwood. Di sini, ada ruang marmar yang sejuk dan tidak ditutup untuk aku bersolat sunat dan mengirimkan doaku untuk kamu. Demi Tuhanku, aku tidak pernah meninggalkan solat hajatku sebelum tidur. jauh dan dalam pelusuk hatiku, ingin benar aku bahawa kamu adalah wanita terakhir untuk benar-benar aku risik dengan lafaz mulia. Lafaz sakinah.

Aku sering berharap bahawa usahaku ini istiqamah. Selain dhuha yang sering aku tetapkan saat pagi hari. Mungkin juga Quran yang aku tambahkan tadabbur tafsirku. Aku ingin jadi yang terbaik buat kamu. Andai mungkin bukan kamu. Maaflah, namamu tetap bersuara dalam solat hajatku. Mungkin suatu masa aku dan kamu tiada jodohnya, maka saat itulah aku pohonkan doa Nabi Daud as. Menanti cinta yang hadir kerana cinta agung kepada Tuhan.   

Malam ini tepat 11.57 malam Januari 11. Hanya 3 minit sebelum menjengah hari kedua belas dalam Januari. Aku pohon agar aku tidak sering menekanmu dengan bicara nasihat dan khabar. Fahamku padamu harusnya bermaksud aku tidak sesekali mengganggumu. Biar doa aku terus berbicara. Demi Tuhan Pemilik Hati, mungkin Februari temukan aku dan kamu. Pertemuan untuk aku dan kamu kenal antara realiti. Semoga dipermudahkan Allah. Semoga kamu senang dengan aku. Juga aku damai dengan kamu.

Nukilan warkah keduaku ini merupakan kelahiran semula novel Islamiku. Aku cuba senekad mungkin, bahawa inilah masanya. Tiada lagi istilah gadis Thantawi untuk dijadikan aas penceritaan. Ini antara kamu dan aku. Mungkin kononnya kita bertemu di Rumah Tasik, siapa tahu? Semoga ia bernafas sama. Aku harus mula untuk kembali mencari pengeluar dan penerbit nukilan ku ini. Semoga ini jadi mahar terindah dariku untukmu. Harapnya Puan Mazenah ketika aku berada di bawah Homeroomnya dahulu di MRSM, akan senang membaca dan meneliti warkahku ini. Ingin meminta bantuan Prof Azmah Nordin, seakan terlalu jauh. 

Aku lepaskan segala yang aku rasakan tentang kamu. Dan aku mengawal rasaku pada titis air mata ku saat tahajud. Mungkin malam ini aku tahajud lagi. Tiada lagi setting alarm padaku. Segalanya dipermudahkan Allah. Segalanya seakan bernada setuju akan perasaanku terhadapmu. Andai ia benar, ia harus sukar. Andai ia benar, ia harus ada sekelumit serabut dan gusar. Andai ia juga benar, ia harus bernafas istiqamah. Antara kamu dan aku, hanya hijab doa kan menjadi jambatan.

Malam ini, aku berharap kamu sentiasa sihat di sana. Dari seorang teman istimewa yang bernawaitukan baitul muslim. Jaga dirimu. Kekal selalu bercinta dan merindu Tuhanmu. Semoga dirahmati dan semoga rahmat juga menutupi warkah keduaku malam ini. Tuhanku, sampaikan bisik doaku seorang arkitek kepada seorang doktor.


No comments:

Post a Comment