Dan aku akan selalu jelaskan pada hati, bahawa titisan air mata itu bukanlah penentu bahawa selepasnya dirimu akan terus bangkit tanpa sedikitpun terculas dek dunia. Menangislah duhai jiwa-jiwa yang tersentuh pada kalimah-kalimah menggetarkan. Menangislah sepuas hatimu. Sepi dari hamba-hamba yang lelap terulit. Di sebuah sudut kelam. Hanya Dia temankan dirimu. Bersama bisik semangat dan rindu. Umpama dirimu mampu melihat ke atas sana. Terpandang dipan-dipan, serta kenikmatan yang jauh lebih hebat dari dunia.
"Sekiranya bukan kerana syaitan-syaitan selalu mengitari hati manusia, nescaya manusia akan mampu memandang langit-langit."
(Hadis riwayat Ahmad dari Abu Hurairah ra)
Sorotilah air mata itu. Telah ia membasuh api-api neraka. Telah juga ia meminta ganti hatimu yang baru. Dan kejernihan hati ternyata lebih hebat buat mereka yang senantiasa menanti untuk menikmati nikmat-nikmat sebuah keredhaan terlalu agung. Usah berhenti mencium kebaikan. Usah berhenti mengucup kebajikan. Usah berhenti menyucikan dari penyakit-penyakit hati.
" Dan orang-orang yang beriman dan beramal saleh, benar-benar akan Kami hapuskan dari mereka dosa-dosa mereka dan benar-benar akan Kami beri mereka balasan yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan."
Al-Ankabut, 7
Benarlah bahawa menangisi itu suatu kenikmatan seorang hamba buat Penciptanya. Dan benarlah juga, bahawa dari titik itu. Telah Dia tingkatkan dirimu ke sebuah tingkatan yang lebih mulia. Dan sudah tentu dirimu memerhatikan bahawa syaitan di sebelahmu juga bertukar upayanya. Berbisik suara indah. Memetik irama gundah. Dan lagha jadi madah yang bisa membawa nanah dan darah. Kelak dirimu di barzakh.
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka belum diuji?"
Al-Ankabut, 2
Jalan itu gelap, dan dirimu daki landasan yang licin serta curam. Dan bukankah Imam Al-Ghazali telah jelaskan bahawa jumlah dirimu ini. Sedikit dan terpilih. Terpilih untuk melihat dirimu di balik hijab terdahulu. Engkau memilih hijab, yang ternyata bisa dekatkan hatimu. Garis di hadapan taubatmu. Ia sulit untuk diteruskan. Ia sukar untuk digapai. Dan ternyata, ia indah tika berada di sana. Sabda baginda Muhammad saw:
"Ciri seorang yang benar taubatnya, adalah ia menyedari keburukan-keburukan yang ada dalam dirinya."
Berganjaklah jiwa yang sentiasa menyedari. Oleh sebuah harapan yang Allah ciptakan. Terbukanya peluang itu, buat dirimu semua yang bernama hamba. Hanya beza adalah di dalam hati ini. Sama ada engkau, senang sahaja dipalingkan dunia. Mahupun, sebaliknya. Dibentak dan dicerca.
Sahabat Baginda saw, bila melemah jiwa yang lara. Kan hadir suara-suara kesayuan. Ketenangan dari Al-Quran. Selagi nyawamu bernafas dek badan. Selagi nadimu bergerak seiring usia. Sungguh, seakan kita mustahil mengulangi martabat Al-Fateh.
Namun, hanya kepercayaan pada Allah, disusuli harapan yang jelas bisa membawa dirimu ke arah nikmat mencintai Tuhan. Demi Ramadhan yang pasti berlalu pergi, hanya taqwa kekal di hati. Membina sinar-sinar kesempurnaan seorang manusia. Bergelar hamba.
arthantawi
Aku bukanlah seorang yang hebat bersama ayat-ayat Al-Quran dan hadis, namun aku sentiasa mengerti bahawa hati ini perlukan dorongan cinta. Untuk menggilap kusam-kusam lara, menghampiri cinta-Nya. Ayuh, saat cintamu bertasbih. Mudahkan ia, jelaskan ia. Moga bertemu Tuhanmu penuh redha.
No comments:
Post a Comment